Israel terus bedil kawasan berhampiran Hospital Al-Quds

Hospital Al-Quds rosak selepas terkena serpihan pengeboman Israel dan orang awam mengalami sesak nafas selepas habuk memasuki kemudahan tersebut. - Foto Agensi
Hospital Al-Quds rosak selepas terkena serpihan pengeboman Israel dan orang awam mengalami sesak nafas selepas habuk memasuki kemudahan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

GAZA CITY - Tentera Israel membedil kawasan berhampiran Hospital Al-Quds di utara Genting Gaza selepas rejim Zionis mengeluarkan amaran untuk segera mengosongkan bangunan tersebut.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa bahawa hospital itu digunakan sebagai pusat arahan tentera oleh pejuang Hamas.

Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu dan menegaskan bahawa Hospital Al-Quds menempatkan pesakit serta petugas kesihatan.

Malah, PRCS berkata ratusan orang awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak berlindung di kawasan hospital itu.

Menurut al Jazeera, sekitar 14,000 orang berlindung di hospital berkenaan dan pengeboman Israel meletakkan nyawa orang awam dalam bahaya.

"Tentera Israel dengan sengaja terus melancarkan roket berhampiran Hospital Al-Quds dengan tujuan memaksa kakitangan perubatan, individu yang kehilangan tempat tinggal dan pesakit mengosongkan hospital.

"Pengeboman telah menyebabkan kerosakan besar kepada jabatan hospital dan mendedahkan penduduk dan pesakit kepada sesak nafas," menurut kenyataan PRCS.

Sebelum ini, IDF mendakwa terowong bawah tamah Hamas terletak di bawah hospital, masjid dan kawasan penempatan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

"Untuk melumpuhkan Hamas, kita mesti membongkar terowong bawah tanah mereka," menurut kenyataan IDF di platform X.

Sementara itu, Mads Gilbert, seorang doktor Norway yang telah bekerja di hospital di Gaza selama beberapa tahun berkata tiada bukti bahawa kemudahan itu digunakan oleh pejuang Hamas.

"Saya mengenali Hospital Al-Quds sejak ia dibina. Terdapat blok perubatan baharu di Hospital Al-Shifa di bawah pengawasan antarabangsa.

"Selama bertahun-tahun bekerja di hospital-hospital ini, saya tidak pernah melihat sebarang tanda mana-mana tentera atau pusat arahan politik," kata Gilbert.

Tambahnya: "Dan jika Israel tidak dapat memberikan sebarang bukti, bagaimana kita boleh melihat ini sebagai perkara lain selain pembohongan dan alasan untuk mengebom hospital."

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Rumah Putih tidak mengeluarkan sebarang ulasan mengenai pengeboman sekitar Hospital Al-Quds.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus melahirkan kebimbangan beliau mengenai ancaman Israel itu menerusi catatan di akaun X beliau.

"Seperti yang WHO telah tegaskan berulang kali, mustahil untuk petugas di hospital yang sesak itu mampu untuk memindahkan pesakit dengan selamat.

"Mereka (petugas) mesti dibenarkan melaksanakan fungsi mereka untuk menyelamatkan nyawa. Mereka mesti dilindungi, " tegas beliau.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds daripada ancaman serangan Israel. - Agensi