Jana hasil komoditi getah negara

RISDA tawar IHL, tingkat pendapatan pekebun kecil

A
A
A

Noraini (bertudung merah) bergambar bersama para pekebun kecil getah sempena Karnival Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) 2023 di Plaza Angsana, Johor Bahru pada Sabtu.
Noraini (bertudung merah) bergambar bersama para pekebun kecil getah sempena Karnival Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) 2023 di Plaza Angsana, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) meneruskan komitmen membantu meningkatkan pengeluaran hasil komoditi getah sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil menerusi tawaran Insentif Hasil Lateks (IHL).

Komitmen itu dinyatakan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mana insentif tersebut mampu menggalakkan lagi pengeluaran lateks sekali gus menambah baik bekalan bahan mentah getah untuk sektor hiliran.

“RISDA menawarkan Insentif Hasil Lateks (IHL) di bawah skop perluasan Skim Insentif Lateks (SIL). Insentif ini melibatkan bayaran sebanyak RM1 bagi setiap kilogram yang akan dijual di Depo Pengumpulan Lateks (DPL) RISDA.

“Dengan adanya tambahan IHL di bawah SIL ini, RISDA yakin ia dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran getah negara di samping meningkatkan taraf sosioekonomi para pekebun kecil getah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah 2023 dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) RISDA di Plaza Angsana, di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Timbalan Pengarah RISDA Johor, Nor Afzami Isa dan Wakil Bahagian Produktiviti dan Pemasaran RISDA, Wan Zuhairie Wan Usof.

Dalam majlis yang sama, tiga pekebun kecil getah, iaitu Masnah Paimin dari Segamat, Abdul Lajis Kitan (Muar) dan Suhaimi Jaafar dari Batu Pahat menerima Anugerah Produktiviti Getah Terbaik (individu) RISDA Johor.

Artikel Berkaitan:

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu menambah, bagi memperkukuhkan pengeluaran lateks yang merupakan komponen di bawah Program Skim Getah Matang (SGM), RISDA turut membina kemudahan infrastruktur, pusat pemprosesan getah sekerap dan lateks yang akan memudahkan proses serta aktiviti pemasaran komoditi berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini turut menyatakan RISDA akan mempergiatkan program SGM menerusi inisiatif Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG).

Inisiatif GPPG itu katanya, merangkumi lima pakej insentif di samping tambahan bantuan di bawah SGM melibatkan penanaman semula getah.