Pihak swasta dipelawa bangunkan lapangan terbang

Anthony
Anthony
A
A
A

IPOH - Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan dan menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usahasama menerusi Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership (PPP) itu diyakini dapat memberi model baharu kepada lapangan terbang sedia ada agar dapat dibangunkan dengan lebih baik.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa syarikat swasta yang menunjukkan minat dan kesungguhan dalam perkara itu membabitkan pelaburan besar termasuklah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

"Saya ada berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk melihat dan mengkaji kepada model usaha sama PPP ini. Sebab kalau model yang sebelum ini, lapangan-lapangan terbang yang dikira tidak berdaya saing ini ianya bukanlah berekonomi kerana tidak banyak penerbangan.

"Jadi MAHB tidak akan melabur untuk menaik taraf lapangan terbang sehinggalah mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan, tetapi dengan kekangan kewangan di peringkat Persekutuan, kita perlu mencari kaedah baharu iaitu kaedah PPP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak kali ke-22 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Ahad.

Anthony (tengah) bersama sebahagian perwakilan yang hadir sempena Konvensyen DAP Perak kali ke-22 pada Ahad.
Anthony (tengah) bersama sebahagian perwakilan yang hadir sempena Konvensyen DAP Perak kali ke-22 pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Artikel Berkaitan:

Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan telah menerima cadangan daripada kerajaan Perak untuk menaik taraf terminal LTSAS kepada lebih moden menerusi pelaburan syarikat swasta.

Katanya, perkara itu akan diberi perhatian khusus agar dapat dilaksanakan memandangkan MAHB sendiri sudah menyatakan hasrat untuk tidak membangunkan lapangan terbang berkenaan menggunakan modal sendiri.

"Sebab itu saya katakan apabila ada niat dan juga hasrat daripada syarikat swasta, kita perlu lihatlah bagaimana usahasama dengan pihak MAHB boleh dilaksanakan tanpa memberikan kesan negatif kepada MAHB," katanya.

Mengulas mengenai cadangan membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, beliau berkata, perkara itu masih jauh untuk direalisasikan.

"Pembinaan satu lapangan terbang baharu bukannya mudah kerana memerlukan proses yang rumit dan panjang. Jika tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), tidak boleh memulakan proses itu.

"Sebaiknya kemudahan yang ada diberikan naik taraf tanpa menjejaskan struktur sedia ada," katanya.