Lebih 75 peratus subsidi baja diagih

Phahrolrazi (kanan) menyampaikan baucar bernilai RM100 kepada pelajar sempena program Jom Ke Sekolah anjuran Nafas di SMK Convent, Alor Setar semalam.
Phahrolrazi (kanan) menyampaikan baucar bernilai RM100 kepada pelajar sempena program Jom Ke Sekolah anjuran Nafas di SMK Convent, Alor Setar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 75 peratus subsidi baja telah diagihkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi musim kedua di Kedah dan Perlis sejak dua minggu lalu selepas menerima arahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, Kementerian Kewangan (MOF) telah memberikan kelulusan kepada MOA untuk menyambung kontrak pembekalan subsidi baja oleh Nafas kepada pesawah.

Menurut Phahrolrazi, sekiranya tidak menghadapi sebarang masalah, baki agihan subsidi baja dijangka selesai diedarkan pada hujung bulan ini.

“Kita hantar kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pertubuhan berkenaan akan hantar serta agih subsidi baja kepada pesawah.

“Untuk 2020, harapan Nafas adalah baja subsidi ini terus diberikan kepada kita kerana memang sebelum ini diberikan kepada Nafas sejak 30 tahun lalu. Ia adalah sebahagian daripada perniagaan utama kami kerana ada kilang di Gurun yang memproses baja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan baucar bernilai RM100 setiap seorang kepada seramai 200 pelajar sempena program Jom Ke Sekolah anjuran Nafas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai status agihan subsidi baja oleh Nafas yang mengalami kelewatan, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menghadapi masalah untuk membekalkan baja jika mendapat pesanan lebih awal.

“Mungkin tahun ini ada sedikit masalah birokrasi yang menyebabkan kelewatan. Saya harap tahun depan kita akan diberikan kelulusan lebih awal sebab kita perlu pesan bahan-bahan mentah dari luar negara seperti Rusia dan Australia.

Artikel Berkaitan:

“Bahan-bahan mentah mengambil masa untuk sampai ke Malaysia dan Nafas memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk menyediakan baja sebelum menghantarnya kepada PPK,” katanya.