Mesyuarat kedua EUDR diharap terima pengiktirafan MSPO - Fadillah

Fadillah merasmikan program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sarawak pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah merasmikan program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sarawak pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BINTULU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat kedua berhubung Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan diadakan Disember ini diharapkan akan dapat menerima pengiktirafan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai proses audit EUDR.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pengiktirafan MSPO ini bertujuan untuk memastikan aktiviti penanaman kelapa sawit di negara ini tidak menjejaskan alam sekitar dan dihasilkan berdasarkan amalan pertanian yang baik serta mampan.

"Komitmen kita untuk dunia adalah (keluasan) hutan kita mesti tidak kurang daripada 50 peratus, jadi kita kena imbangi keperluan untuk penanaman hasilan (sawit).

"Pada masa yang sama, kita tidak mengorbankan alam sekitar kita. Ini komitmen kita untuk generasi masa depan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sarawak di Sungai Selad, Sebemban, kira-kira 30 kilometer dari sini, pada Sabtu, Fadillah berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kedua berhubung EUDR pada Disember ini.

Katanya, mesyuarat pertama yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 4 Ogos lepas telah membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia namun mesyuarat kedua ini kelak akan memuktamadkan sama ada MSPO akan diterima sebagai sebahagian daripada proses audit di bawah EUDR ini.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis tersebut, Fadillah berkata, beliau telah meminta pekebun-pekebun kecil di Sarawak untuk menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi membolehkan mereka memohon untuk mendapatkan pengiktirafan MSPO secara berkelompok.

Beliau berkata, KPSM boleh membantu untuk memastikan pekebun kecil ini dapat mengusahakan ladang sawit mereka menggunakan kaedah pertanian yang baik dan mematuhi syarat di bawah MSPO.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu kalau setiap pekebun kecil ini hendak mengambil MSPO, kosnya mahal.

"Sebab itu apa yang kita laksanakan ialah kita tubuhkan koperasi dan melalui koperasi inilah maka kelompok daripada pertemuan kecil ini digabungkan dan koperasi akan mengusahakan untuk diberi sijil MSPO tersebut," katanya.

Menurutnya setakat 30 September lepas, hanya seramai 3,955 pekebun kecil menyertai 18 KPSM di Sarawak berbanding jumlah keseluruhan 46,325 pekebun kecil sawit di negeri itu.

"Disebabkan itu, saya menyeru sesiapa yang belum menjadi ahli untuk menjadi ahli koperasi dan daerah yang belum ada koperasi, cepat-cepat tubuhkan koperasi untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan akhirnya dapat membangunkan industri sawit kita," katanya. - Bernama