Dua penjaga pusat jagaan disyaki dera, lakukan amang seksual ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warganegara asing dan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes dera dan amang seksual di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya Selatan, Ampang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dalam kenyataan pada Jumaat berkata, kedua-dua suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang di Jalan Sri Kemuning susulan dua laporan polis yang dibuat.

"Laporan polis dibuat oleh (mangsa) dua kanak-kanak yatim berumur 13 dan 14 tahun di Balai Polis Ampang Jaya pada 1.36 tengah hari dan 2.03 petang," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca seorang daripada mangsa dipukul adalah disebabkan bermain telefon di dalam bilik.

"(Mangsa) mengalami lebam di bahagian paha dan betis kiri dan kesan bengkak di pipi kiri manakala seorang lagi pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Mohd Azam, seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai penjaga dan penjaga sukarelawan di pusat jagaan berkenaan direman sehingga 2 November bermula hari ini (Jumaat)," katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!