Dadah 511.9kg disorok dalam kontena bawang dirampas

Mohd Kamarudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika diseludup masuk ke dalam negara dari Pakistan dan disorok dalam karung bawang.
Mohd Kamarudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika diseludup masuk ke dalam negara dari Pakistan dan disorok dalam karung bawang.
A
A
A

KAJANG - Kontena berisi bawang dijadikan 'port' penyimpanan dua jenis dadah seberat 511.9 kilogram diseludup dari Pakistan menerusi jalan laut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, menerusi serbuan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dadah bernilai RM33.73 juta disembunyikan dalam karung berisi bawang berjaya dirampas.

Beliau berkata, tiga serbuan dilakukan pada Rabu jam 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Kata beliau, enam lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 21 hingga 53 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran serta penyeludupan dadah di sekitar Lembah Klang.

"Polis telah merampas dadah jenis syabu seberat 411.17 kilogram (kg) dan dadah jenis kokain sebanyak 100.81kg yang dianggarkan bernilai RM33.73 juta disembunyikan dalam kontena berisi bawang.

"Dadah tersebut dirampas ketika dipunggah di Taman Perindustrian Fimas, Kajang, Selangor.

"Bekalan dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia akan diseludup keluar kerana jumlah yang sangat besar," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mohd Kamarudin berkata, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.6 juta orang penagih.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin (tengah) melihat dua jenis dadah yang dirampas ketika diseludup masuk ke dalam negara dari Pakistan menerusi tiga serbuan pada Rabu.
Mohd Kamarudin (tengah) melihat dua jenis dadah yang dirampas ketika diseludup masuk ke dalam negara dari Pakistan menerusi tiga serbuan pada Rabu.

Menurut beliau, sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini.

Katanya, saringan awal air kencing dilakukan ke atas suspek adalah negatif dadah.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober hingga 1 November bagi membantu siasatan.

Tambahnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kata beliau, menerusi serbuan tersebut, pihaknya telah merampas enam buah kenderaan, enam barangan kemas serta wang tunai berjumlah RM236.

Bagi semakan rekod jenayah, beliau berkata, lima suspek mempunyai rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan dadah.