Lima pengguna jalan raya ditahan positif dadah

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya menjalankan operasi bersepadu bersama AADK di susur MRR2, Kampung Pandan pada Jumaat.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya menjalankan operasi bersepadu bersama AADK di susur MRR2, Kampung Pandan pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Seramai lima pengguna jalan raya ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Cegah Jenayah Khas ( Tiga Penjuru) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan di susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kampung Pandan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai 115 pengguna jalan raya diperiksa dalam operasi yang bermula pada jam 9 hingga 11 pagi.

"Daripada jumlah itu, kita mendapati seramai tiga lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan dua lelaki positif ganja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, objektif operasi itu adalah untuk mengambil tindakan ke atas pengguna kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya dan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Tiada lesen merupakan kesalahan yang banyak dikeluarkan saman iaitu 26 saman.

"Selain itu, kita turut keluarkan 12 saman berkaitan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, kesalahan nombor plat (9), kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (6), tidak memakai topi keledar (4) dan satu saman bagi setiap kesalahan cermin sisi, lampu merah dan kesalahan lesen L/P," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan buah motosikal dan dua kereta telah disita serta dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.

"Pengguna jalan raya sentiasa diingatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan pengguna yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan: