Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

Mas Ermieyati (tengah) kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.
Mas Ermieyati (tengah) kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Pilihan Raya di sini, pada Jumaat, membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Abu Bakar Katar yang menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid bagi mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di kerusi Parlimen berkenaan atas dakwaan rasuah.

Abu Bakar dalam penghakimannya memaklumkan mahkamah menolak petisyen tersebut setelah mendapati dakwaan yang dikemukakan pihak pempetisyen gagal membuktikan amalan rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejennya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti dan menghalusi nota keterangan 28 saksi sepanjang 13 hari perbicaraan berlangsung.

"Pempetisyen bergantung kepada dua alasan utama dalam petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan responden sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah iaitu berlakunya penyogokan wang oleh ejen responden semasa hari pengundian berlangsung dan penjamuan yang diadakan di Markas Pasir Gembur pada 3 Disember tahun lalu.

"Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, mahkamah berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan wang atau penjamuan," katanya dalam penghakiman.

Abu Bakar pada penghakimannya turut menjelaskan berdasarkan peruntukan 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mahkamah memutuskan Mas Ermieyati telah dilapor pilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada PRU itu.

Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan kos RM50,000 dibayar oleh pempetisyen kepada responden.

Artikel Berkaitan:

Mas Ermiyati diketuai peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan manakala Abdul Hakim diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada PRU15, Mas Ermieyati (PN-Bersatu) menang dengan majoriti 4,411 undi menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).