Bimbang kena marah, remaja 13 tahun buat laporan palsu diculik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NILAI - Bimbang dimarahi bapa kerana lewat pulang ke rumah, menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun sanggup membuat laporan polis palsu kononnya dirinya diculik.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, remaja berkenaan membuat laporan pada Rabu di Balai Polis Lenggeng mengatakan dirinya diculik di perhentian bas di sebuah sekolah di Lenggeng.

"Kaunter aduan Balai Polis Lenggeng telah terima aduan daripada pengadu pada jam 9.26 malam yang menyatakan semasa pengadu berada di perhentian bas hadapan sebuah sekolah di Lenggeng pada jam 2.15 petang telah didatangi sebuah kereta Honda City warna putih.

"Pengadu memaklumkan suspek seorang lelaki telah menariknya masuk ke dalam kereta dan telah mengikat tangan serta mulutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, remaja itu memberitahu suspek telah membawanya ke lokasi yang tidak diketahui namun telah berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun, Abdul Malek berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian culik tidak berlaku dan remaja terbabit sengaja mereka cerita kerana bimbang akan dimarahi bapanya.

"Ini kerana dia terleka bermain di rumah rakannya dan telah lewat untuk pulang ke rumah.

"Justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!