Pegawai tentera tidak mengaku buat tuntutan palsu

Mohd Nazeri (dua dari kiri) diiringi pegawai SPRM selepas selesai prosiding mahkamah.
Mohd Nazeri (dua dari kiri) diiringi pegawai SPRM selepas selesai prosiding mahkamah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pegawai Angkatan Tentera Malaysia berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu RM4,345 bagi bayaran kelas bimbingan untuk anak-anak tentera negeri Pulau Pinang kategori UPSR dan PT3 pada 2018.

Tertuduh, Mohd Nazeri Noor, 55, membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak Bayan Lepas telah memperdayakan pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan, Kementerian Pertahanan Malaysia membuat bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan untuk anak-anak tentera kawasan Pulau Pinang kategori UPSR dan PT3.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Mac hingga 24 September 2018 dan pegawai berkenaan tidak akan memproses bayaran keseluruhan berjumlah RM4,345 sekiranya beliau tahu kelas bimbingan tersebut tidak dilaksanakan.

Mohd Nazeri didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Ketika prosiding, Noor Azura memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi tiga pertuduhan yang dibacakan terhadap tertuduh selain beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh meminta mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan berbayar atas faktor menanggung enam anak yang masih belajar selain dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Artikel Berkaitan:

Zulhazmi kemudian menetapkan jaminan RM9,000 bagi tiga pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, serah pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi bagi kes tersebut.

Mahkamah juga menetapkan 30 November depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.