Dua persatuan nyata komitmen patuh undang-undang jalan raya

Lokman (kiri) bersama pegawai JPJ mengadakan satu sesi libat urus bersama dua persatuan bagi mencapai komitmen patuh undang-undang jalan raya dan peraturan muatan pada Khamis. - Foto: JPJ
Lokman (kiri) bersama pegawai JPJ mengadakan satu sesi libat urus bersama dua persatuan bagi mencapai komitmen patuh undang-undang jalan raya dan peraturan muatan pada Khamis. - Foto: JPJ
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Kuari Malaysia dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia menyatakan komitmen mematuhi peraturan muatan.

Pengarah Kanan Penguat kuasa (Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, menerusi satu sesi libat urus, kedua-dua persatuan terbabit bersetuju dan memberi komitmen dalam menyelaraskan bersama ahli masing-masing bagi mematuhi kehendak undang-undang serta peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Beliau berkata, komitmen tersebut dinyatakan demi keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan beban kos kepada kerajaan akibat kerosakan jalan disebabkan lebihan muatan.

"JPJ melalui Bahagian Penguat kuasa telah mengadakan sesi libat urus bersama kedua-dua persatuan bagi menyelaraskan keperluan mematuhi undang-undang dan peraturan di bawah Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018.

"Kedua-dua pihak persatuan mengambil maklum pembentangan oleh JPJ berhubung penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya yang telah menetapkan syarat dan peraturan yang jelas bagi keperluan muatan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lokman (tujuh dari kiri) bersama pegawai JPJ dan wakil dua persatuan mengadakan satu sesi libat urus bersama bagi mencapai komitmen patuh undang-undang jalan raya dan peraturan muatan pada Khamis.- Foto: JPJ
Lokman (tujuh dari kiri) bersama pegawai JPJ dan wakil dua persatuan mengadakan satu sesi libat urus bersama bagi mencapai komitmen patuh undang-undang jalan raya dan peraturan muatan pada Khamis.- Foto: JPJ

Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasaan tegas dan berterusan dilaksanakan oleh JPJ bagi memastikan undang-undang dan peraturan yang telah dikuatkuasakan dipatuhi sepenuhnya.

Tambahnya, kedua-dua persatuan itu juga sedia bekerjasama dengan JPJ bagi memastikan kawalan kendiri pelaksanaan Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018 dapat dikuatkuasakan secara tuntas di peringkat industri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lokman berkata, pihak persatuan juga bersetuju untuk membolehkan JPJ mengenakan tindakan lebih tegas kepada kenderaan yang membawa muatan berat melebihi 70 peratus.

Ini kerana menurutnya, lori membawa lebih muatan boleh mengakibatkan kegagalan fungsi teknikal dan sistem brek, malah menyebabkan peningkatan kadar kemalangan serta kerosakan jalan raya.

"JPJ ingin menegaskan agar syarikat dan pemandu kenderaan komersial untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya lain.

"Selain itu, JPJ juga akan sentiasa mengadakan pendekatan fasilitasi bersama pihak industri ke arah memastikan ekosistem penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Akta 333, 334, 715 dan kaedah-kaedah di bawahnya dapat membudayakan keselamatan jalan raya dengan lebih efektif," ujarnya.