Mogok: Pemandu, pengusaha lori kembali beroperasi esok

Pemandu dan pengusaha lori akan kembali beroperasi esok selepas mogok selama tiga hari sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan JPJ. - Gambar hiasan
Pemandu dan pengusaha lori akan kembali beroperasi esok selepas mogok selama tiga hari sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan JPJ. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu dan pengusaha lori akan kembali beroperasi esok selepas mogok selama tiga hari sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Selasa lepas hingga semalam.

Setiausaha Persatuan Pengusaha dan Pemandu Lori Kelantan, Azam Daud berkata, pihaknya telah mengadakan dialog dan menyerahkan memorandum kepada JPJ negeri pada Selasa dengan harapan perkara terbabit dapat diselesaikan serta dibincangkan ke peringkat lebih tinggi.

"Lebih 2,000 pemandu dan pengusaha lori di Kelantan membuat keputusan kembali beroperasi mulai esok,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Azam berkata, dalam pertemuan dengan JPJ, pihaknya menyatakan mengenai kandungan dalam permit muatan adalah tidak sepadan dengan nisbah kayu kerana berat bahan berkenaan adalah subjektif.

Selain itu, pihak persatuan memohon agar nilai Berat Dengan Muatan (BDM) bagi sesebuah lori dinaikkan kerana isipadu barangan tidak sepadan dengan BDM yang dibenarkan.

Di TERENGGANU, polis sedang menyiasat dalang yang melakukan ugutan ke atas pemandu lori supaya menyertai mogok dan tidak menjalankan operasi seperti biasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat ketua atau ‘samseng’ lori mengugut untuk melakukan sabotaj atau kerosakan sekiranya ada pemandu yang tidak menyertai mogok.

Mazli berkata, beliau percaya mogok pemandu lori yang diadakan di beberapa negeri termasuk Terengganu berpunca daripada pemandu yang melanggar undang-undang dan peraturan.

Artikel Berkaitan:

Di PAHANG, Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tiada kertas siasatan dibuka berhubung perhimpunan di Indera Mahkota, Kuantan, Selasa lepas.

"Ia berlaku secara aman tanpa provokasi dan hanya melibatkan serahan memorandum kepada pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pemandu dan pengusaha lori mengadakan mogok tersebut bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan JPJ yang menyita berpuluh lori lebih muatan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan jabatan itu. - Bernama