Al-Sultan Abdullah pikul tanggungjawab penuh amanah, sempurna - Sultan Johor

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Raja-Raja menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memikul tanggungjawab sebagai Payung Negara sejak 2019 dengan penuh amanah, bijaksana dan cukup sempurna.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah semasa pemerintahan Al-Sultan Abdullah, negara telah mengalami beberapa masalah yang sangat mencabar khususnya Covid-19 dan pergolakan politik tanah air sehingga melibatkan pelantikan empat Perdana Menteri.

"Namun begitu, kesemua masalah tersebut telah berjaya diselesaikan berkat kebijaksanaan Paduka Adinda (Al-Sultan Abdullah) berunding dengan para pemimpin politik serta dengan Raja-Raja.

"Kejayaan Paduka Adinda bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata,” titah baginda ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu di Istana Negara di sini pada Khamis.

Baginda bertitah, Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan pada September lepas, telah berjaya mendekatkan hubungan raja dengan rakyat serta meningkatkan kesetiaan rakyat kepada raja dan negara.

Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari tahun depan.

Sementara itu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah membincangkan perkara-perkara melibatkan agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah serta pelantikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Turut dibincangkan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Atasan, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) termasuk beberapa perkara menyentuh Perlembagaan Persekutuan iaitu cadangan pindaan Bahagian IlI berhubung kewarganegaraan termasuk mengenai cadangan Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing.

Menurut kenyataan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut memberi taklimat terkini mengenai keselamatan negara manakala Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyembahkan taklimat berhubung pertahanan negara.

"Selain itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut hadir menyembahkan taklimat mengenai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030," menurut kenyataan itu.

Turut berangkat ke mesyuarat hari ini ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat itu. - Bernama