Sultan Mizan pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) dipengerusikan Sultan Terengganu di Istana Negara. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) dipengerusikan Sultan Terengganu di Istana Negara. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, sejurus ketibaan, Raja-Raja Melayu merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum memulakan mesyuarat dan proses pemilihan dijalankan.

Mesyuarat khas itu berakhir kira-kira sejam kemudian dan keputusan pemilihan dijangka diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja petang ini.

Pemilihan itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: