Proses usir petani ikut saluran undang-undang

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menafikan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap sekumpulan petani setinggan yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) seperti didakwa berlaku pada Selasa.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, proses pengosongan tanah yang dilakukan adalah mengikut saluran undang-undang dengan mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

Menurutnya, bagi menyelesaikan isu berkenaan yang sudah berlarutan lebih 11 tahun, kerajaan negeri juga telah menawarkan tapak alternatif kepada petani tersebut di Changkat Kinding, Chemor di sini yang telah diwartakan sebagai zon pertanian melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

"Lawatan tapak ke Changkat Kinding telah diadakan pada Mei 2021 bersama setinggan pertanian yang terbabit, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka yang menerima tawaran tersebut.

"Kerajaan negeri yakin isu tersebut boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang," katanya dalam kenyataan tersebut pada Khamis.

Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga telah membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan.

Menurutnya, PKNPk sebagai penggerak utama ekonomi negeri Perak perlu merealisasikan projek berimpak tinggi SVTP bagi melengkapkan perancangan memacu pembangunan industri negeri yang dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan serta perniagaan baharu kepada rakyat.

Bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa membuka pintu perundingan agar jalan penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif di Changkat Kinding dapat direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hubungan ini, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan petani dalam membantu memastikan aspek ketersediaan sumber makanan sentiasa diutamakan, malah Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara.

"Malah, sekuriti makanan menjadi salah satu daripada enam agenda dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dengan menggariskan pelbagai

inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub industri halal," katanya.

Pada Selasa, tiga orang pemimpin politik dan seorang petani ditahan pihak polis semasa operasi bersepadu dijalankan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak di sebuah tapak projek SVTP di Kanthan Bharu, Chemor di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 68 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Menurutnya, siasatan mendapati semasa operasi dilaksanakan sekitar jam 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang anggota PTG yang menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.