Bantah usir petani: Polis sahkan tahan empat individu

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan telah menahan tiga ahli parti politik dan seorang petani semasa operasi bersepadu dijalankan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak di sebuah tapak projek di Kanthan Bharu dekat Chemor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 68 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Menurutnya, siasatan mendapati semasa operasi dilaksanakan sekitar jam 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang anggota PTG yang menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

"Operasi ini turut disertai beberapa agensi dan badan berkanun kerajaan negeri Perak dengan polis berperanan menjaga keadaan sepanjang operasi dijalankan.

"Atas tindakan itu, polis terpaksa melakukan tangkapan ke atas mereka, satu laporan polis turut dibuat berhubung penangkapan tersebut. Mereka bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beberapa video kejadian itu telah tular di media sosial memaparkan insiden-insiden semasa penguatkuasaan dijalankan sehingga menarik perhatian umum.

Yahaya berkata, polis turut menerima laporan daripada PTG mengenai seorang wanita disyaki ahli parti politik yang bertindak menghalang kenderaan agensi itu dalam menjalankan operasi di kawasan sama.

Katanya, kes berkenaan turut disiasat di bawah akta sama atas kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Artikel Berkaitan:

"Operasi bersepadu ini berjaya dilaksanakan. Semua ahli parti dan petani yang berkumpul di kawasan operasi berjaya disuraikan dengan aman pada jam 2.45 petang," katanya.

Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj bersama tiga lagi individu telah ditahan ketika cuba menghalang pengusiran paksa dan kemusnahan ladang oleh sebuah agensi kerajaan di Kanthan, Chemor.

Seorang ahli PSM dilaporkan patah gigi akibat terjatuh selepas ditolak pegawai terlibat.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan dalam kenyataan memaklumkan, isu melibatkan lebih 200 petani itu telah lama diperjuangkan PSM melalui serahan memorandum kepada kerajaan negeri dan kementerian terlibat.

Jelas Sivarajan, selain tiada tindakan, kerajaan negeri juga gagal melaksanakan janji untuk menggantikan tanah seluas 0.8 hektar sejak 2012.

"Kini petani diusir secara paksa sedangkan mereka telah memohon tanah itu, menunggu dengan sabar dan mematuhi tawaran kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah alternatif," katanya.