Penduduk Kedah meningkat kepada 2.19 juta

Nadia (tujuh dari kiri) ketika menjayakan program mendaki Darul Aman Hill sempena sambutan Hari Statistik Negara pada Jumaat.
Nadia (tujuh dari kiri) ketika menjayakan program mendaki Darul Aman Hill sempena sambutan Hari Statistik Negara pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di negeri Kedah meningkat kepada 2.19 juta orang berbanding 2.16 juta pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Kedah, Nadia Marzuki berkata, Kedah mengalami kadar pertumbuhan penduduk tahunan sekitar 1.1 peratus, dengan 51 peratus adalah lelaki dan wanita sebanyak 49 peratus.

Menurutnya, negeri ini turut dihuni oleh bukan warganegara merangkumi 4.5 peratus daripada keseluruhan penduduk.

“Peratusan penduduk warganegara mengikut kumpulan etnik ialah bumiputera merekodkan 80.5 peratus, diikuti Cina sebanyak 11.9 peratus, India (6.2 peratus) dan lain-lain sebanyak 1.2 peratus,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Nadia berkata, golongan berusia 15 hingga 64 tahun mewakili kumpulan umur terbesar di negeri ini dengan 66.8 peratus, diikuti 14 tahun ke bawah sebanyak 24.4 peratus, 60 tahun ke atas (13 peratus) serta 65 tahun ke atas dengan 8.8 peratus.

“Pendapatan isi rumah kasar di Kedah bagi tahun 2022 ialah RM4,402, jika mengikut kumpulan strata RM4,738 di bandar dan RM3,812 (luar bandar), berdasarkan survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah 2022.

"Untuk data terkini dilakukan pada tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nadia
Nadia

Menurutnya, bancian pertanian juga akan dilakukan pada tahun depan yang kini merekodkan 21,000 pengunjung sejak portal berkenaan dilancarkan pada 20 Oktober lalu.

Jelasnya, kesemua data boleh diakses menerusi OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

“OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my," ujarnya.

Megulas lanjut Nadia berkata, sambutan Hari Statistik Negara yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun penting untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diamanahkan untuk memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan yang bertepatan masa dan terkini.

"Ia penting kerana kita membekalkan data kepada agensi Pusat untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Kedah turut menganjurkan Program FitDOSM peringkat negeri dengan pelbagai aktiviti dalam meningkatkan kesedaran kalangan penduduk, antaranya mendaki Bukit Darul Aman, pertandingan futsal, bola jaring dan aktiviti plogging sekitar Taman Lagenda, Langkawi.

“Pada 31 Oktober, DOSM Kedah akan adakan Program Literasi Statistik bersama warga Fakulti Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM), antaranya Stats Talk, pameran produk dan Stats Data Hunt bersama pelajar UUM.

"Program ini dijangka libatkan lebih 500 peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar UUM,” katanya.

Nadia memaklumkan, untuk mendekati masyarakat, DOSM Kedah dengan kerjasama Masjid Al Busyra, Merbok akan menganjurkan Program Komuniti@Stats Bersama Komuniti Mukim Merbok pada 4 November depan.

“Program sehari itu diadakan di pekarangan Masjid Al-Busyra, pelbagai aktiviti menarik seperti Fun Run, Stats Talk, pertandingan mewarna, sukaneka, aktiviti memanah dan berkuda, pameran agensi, bazar makanan, jualan rahmah diadakan.

“Merbok Berselawat mengakhiri program tersebut dan kami mengalu-alukan kehadiran penduduk untuk memeriahkan program ini,” ujarnya.