Coding, robotik beri impak positif kepada anak peneroka

Mohd Banuri
Mohd Banuri
A
A
A

SHAH ALAM - Program coding dan robotik yang melibatkan hampir 74 sekolah memberi impak positif kepada anak-anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selepas dilancarkan tahun lalu.

Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, pendekatan pendidikan digital bertepatan dengan revolusi industri 4.0 dalam negara ini seiring dengan perubahan pasaran teknologi dari masa ke masa.

“Inisiatif Felda menyediakan kursus teknologi kepada murid sekolah rendah bukan sahaja sekadar mengetahui perkembangan dunia IT sahaja, sebaliknya dapat membina minat mereka dalam bidang reka cipta.

“Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang turut menyediakan sokongan, silibus dan peralatan untuk para pelajar,” katanya menerusi Wacana Sinar Harian, 'Generasi Felda inovatif: Coding dan robotik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital pada Selasa.

Ia turut menampilkan Pengarah Pembangunan Komuniti dan Generasi Felda, Nik Hasrul Mohd Zainuddin serta pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts Dr Luthffi Idzhar Ismail sebagai panelis termasuk moderator, Ismail Adnan.

Dalam pada itu, Mohd Banuri berkata, dengan kerjasama bersama KPM dan pihak-pihak tertentu ia turut memberi impak positif terhadap penyertaan para pelajar bagi memahami senario dunia digital.

Katanya, pendedahan terhadap pembelajaran digital merupakan mekanisme yang membantu pelajar untuk terus berdaya saing pada masa hadapan.

“Kita perlu pastikan perkembangan atau pendekatan ilmu digital daripada peringkat sekolah dipupuk secara berterusan termasuk melaksanakan beberapa program dan latihan kepada guru serta murid.

“Kita faham bukan semua sekolah mempunyai pengetahuan yang sama tentang digital, namun kerjasama rapat menerusi program latihan oleh pihak KPM dapat membantu mereka mempunyai nilai tambah bagi menghasilkan daya cipta daripada silibus yang dipelajari,” ujarnya.