FDAM kembali beroperasi, KDN beri kelulusan

Dari kiri: Logananthan, Zulkeflie dan Mohamad Zaini hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dari kiri: Logananthan, Zulkeflie dan Mohamad Zaini hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.
A
A
A

PENANTIAN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) untuk kembali beroperasi berakhir dengan berita gembira apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan.

Pemangku Presiden, Datuk Zulkeflie M Osman berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Selasa lalu untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung maklumat dan tindakan penambahbaikan.

"Kami diminta untuk bertemu dengan JPPM berdasarkan surat daripada KDN bertarikh 15 September 2023 yang mengatakan rayuan FDAM telah diluluskan dengan syarat oleh kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18, Akta Pertubuhan 1966.

"Justeru saya ke JPPM bersama Setiausaha FDAM, Mohamad Zaini Hassan serta Bendahari, Logananthan Kanabathy di pejabat JPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pertemuan itu berjalan dengan baik.

"Dalam pertemuan itu, ada beberapa perkara diminta oleh JPPM seperti logo rasmi FDAM yang masih belum diluluskan penggunaan sehingga diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan penghujung tahun ini

"Pihak FDAM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan pegawai di KDN serta JPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang membantu FDAM untuk beroperasi semula," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zulkeflie juga berterima kasih kepada semua ahli FDAM atas kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi dengan memberikan ruang serta masa kepada pengurusan pentadbiran, Penasihat dan Ahli Jawatankuasa FDAM untuk memulihkan kemelut yang melanda.

"Penghargaan juga kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) atas dorongan, nasihat serta sokongan dalam membantu usaha memulihkan status FDAM yang terbatal sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kadangkala oleh kerana kebiasaan itu membuatkan kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara yang boleh menjejaskan kualiti pengurusan persatuan sendiri.

"Fokus dan hala tuju FDAM kini untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan termasuk langkah-langkah penambahbaikan dan idea-idea baharu yang perlu ada bagi kemajuan persatuan," katanya.

Terdahulu, Zulkeflie meluahkan rasa bimbang apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) sudah membatalkan persatuan itu berkuat kuasa 7 Jun lalu.

Pembatalan itu disebabkan alasan yang telah dikemukakan oleh FDAM atas aduan perlanggaran sebahagian dari akta perlembagaan yang terdahulu dan dianggap tidak kukuh bagi pihak RoS.

Justeru, FDAM telah membuat rayuan ke KDN pada 7 Julai lalu bagi memastikan FDAM yang ditubuhkan pada 26 September 1990 terus hidup.