Pisahkan segera peranan AG, pendakwa raya - Wan Saiful

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendesak kerajaan melaksanakan pembaharuan untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya dengan segera.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, tuntutan sama pernah diutarakan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, yang meminta mekanisme pelantikan ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat lebih telus dan bebas daripada pengaruh luar.

Menurutnya, rakyat kini berbicara mengenai pertuduhan kes di mahkamah terutama wujudnya suasana pembebasan secara terpilih.

"Saya bimbang berlaku satu 'bidaah' baharu atas nama 'pengampunan terpilih'.

"Sebelum kerosakan berterusan berlaku dan banyak perkara terpilih tercetus, saya desak kerajaan 'reform' perkara itu dengan segera," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu selepas dia dituduh atas 18 kes pengubahan wang haram mencecah RM5.6 juta.

Wan Saiful berkata, kerajaan sering mengatakan bahawa semua perkara perlu diperbaharui, namun mereka menggunakan alasan ia sedang dalam kajian.

Tambah beliau, isu kajian itu merupakan alasan semata-mata dengan sengaja untuk melengah-lengahkan proses pembaharuan.

"Kita maklum sekarang ini ada lima jawatankuasa semak imbang di SPRM tetapi kritikan mengenai struktur itu telah lama disuarakan terutamanya oleh rakan-rakan daripada kerajaan Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

"Berbalik kepada isu pertuduhan mahkamah ini, saya menganggap pertuduhan baharu yang dikenakan kepada ialah satu usaha mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan yang dilakukan pihak berkuasa terhadapnya diterima dengan reda dan akan hadir ke mahkamah bagi mempertahankan diri untuk membersihkan nama.

Beliau turut menyatakan keyakinan tiada sebarang kesalahan dilakukan dan mendakwa terdapat motif lain di sebalik pertuduhan kes mahkamah terhadapnya.

Selain 18 kes AMLA, ahli perniagaan ini turut didakwa atas satu meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Beliau juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.