Khianat bakar tandas: 2 remaja diarah cuci tandas awam selama enam bulan

Kedua-dua tertuduh yang didakwa melakukan khianat menggunakan api tiba di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Kedua-dua tertuduh yang didakwa melakukan khianat menggunakan api tiba di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua remaja lelaki diarahkan menjalani khidmat masyarakat dengan keutamaan mencuci tandas awam sekitar daerah Kuala Selangor atas kesalahan khianat dengan api di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam di sini pada 28 Ogos tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Peguam pemerhati kes itu, Johan Ariff Salim Khan berkata, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh diminta menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

Jelas beliau, majistret turut mengenakan bon berkelakuan baik bercagar RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selama dua tahun.

Katanya, syarat- syarat bon menetapkan dua remaja terbabit perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selama tempoh dua tahun.

"Dua tertuduh juga tidak dibenarkan keluar rumah dari jam 8 malam hingga 6 pagi melainkan ditemani ibu bapa dalam tempoh dua tahun dan perlu hadir ke bengkel yang dikendalikan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," katanya.

Johan Ariff mewakili ibu mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang meninggal dunia dalam kebakaran tandas berkenaan.

Siti Hajar dalam prosidingnya memberitahu, mahkamah dalam membuat keputusan itu menimbangkan keseluruhan laporan sosial tertuduh yang dibacakan pegawai JKM, fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri.

Muhammad Afiq sebelum itu memohon mahkamah menimbangkan faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.47 petang di Tandas Awam Gelanggang Futsal, Jalan Cakera Purnama, Fasa 3 Bandar Puncak Alam.

Mereka didakwa telah melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan kepada bangunan tersebut.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Sinar Harian pada 28 Ogos tahun lalu melaporkan, tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam kebakaran di tandas awam di Bandar Puncak Alam.

Dalam kejadian itu, kedua-dua rakan mangsa cuba membantu memadamkan kebakaran, namun api semakin besar dan tidak berjaya dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa melakukan khianat menggunakan api tiba di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.