Isu Bukit Malut: Ada pihak cuba sebar maklumat tidak benar

ABU BAKAR
ABU BAKAR
A
A
A

LANGKAWI - Orang ramai dinasihati mendapatkan maklumat yang jelas di sebalik isu perobohan rumah rakyat di kawasan Pantai Pasir Berdengung, Bukit Malut, di sini, bukan sebagaimana yang ditularkan menerusi media sosial baru-baru ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu itu bukan untuk menyelesaikan masalah.

”Sebaliknya hanya mahu mencetuskan persepsi negatif yang akhirnya menyekat proses keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

”Berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima, pihaknya mendapati rumah-rumah yang dirobohkan sebelum ini dibina secara tidak sah di atas tapak tanah milik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sesetengah pihak di media sosial menularkan isu kononnya kerajaan negeri bertindak zalim merobohkan rumah rakyat di kawasan Pantai Pasir Berdengung baru-baru ini.

Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pejabat tanah dan daerah serta masyarakat setempat bagi menyelesaikan kemelut ini segera.

Dalam perbincangan terbaharu ini, Abu Bakar menjelaskan isu perobohan rumah di kawasan dianggap selesai dan penduduk yang terlibat bersetuju untuk mengikut saluran undang-undang yang sedia ada.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan membantu membina dan menyusun semula penempatan penduduk di Bukit Malut dalam menyelesaikan isu sosial serta masalah dadah di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh itu, pelbagai masalah timbul berikutan penduduknya tidak memiliki rumah selesa untuk didiami.

Kebanyakannya penduduk bukan penduduk tempatan dan difahamkan datang dari tempat lain dan tidak memiliki rumah.

Dr Mahathir berkata, mereka datang mendirikan rumah sehingga kawasan Bukit Malut menjadi kawasan setinggan.

Kawasan paya bakau dan hutan di Bukit Malut sudah diteroka secara haram sejak 80-an oleh pendatang asing sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan.

Dianggarkan kira-kira 800 rumah menempatkan antara 5,000 hingga 8,000 penduduk mendiami kawasan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuah itu.