[VIDEO] Pembinaan TAPS Sungai Lebah Salleh perlu rundingan Malaysia, Singapura

A
A
A

BATU PAHAT - Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Lebah Salleh, Kota Tinggi memerlukan persetujuan di peringkat Pusat kerana Johor masih mempunyai perjanjian bekalan air dengan Singapura.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrasuktur negeri, Mohamad Fazli Mohamed Salleh berkata, air Sungai Johor akan ditakungkan di TAPS Sungai Lebah Salleh untuk penyaluran bekalan air di kawasan pusat pengumpulan data Sedenak, Kulai.

"Perbincangan yang dilakukan bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini tentang cadangan pembinaan TAPS ini, mendapat respons positif.

"Namun, belum ada kata putus kerana Sungai Johor membabitkan dua negara bukan sahaja kerajaan negeri dengan kementerian tetapi melibatkan Kementerian Luar dan Peguam Negara," katanya.

Mohmad Fazli (tengah) berbincang mengenai Projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading pada Selasa.
Mohmad Fazli (tengah) berbincang mengenai Projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading di sini, pada Selasa.

Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, keadaan Empangan Linggui di Kota Tinggi kini berada pada tahap memuaskan.

"Setakat ini, paras air Empangan Linggui hampir kepada 100 peratus. Cuma empangan ini mempunyai sambungan kepada empat Loji Rawatan Air (LRA) yang lain.

"Sekiranya berlaku sesuatu kepada empangan utama ia mungkin akan memberi impak yang besar kepada tempat-tempat yang lain. Bagaimanapun setakat ini, Empangan Linggui tiada masalah," ujarnya.

Sebelum itu pada Isnin, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata, tujuh empangan bekalan air dikenal pasti berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada LRA dan kawasan sekitarnya sekiranya berlaku sebarang kegagalan fungsi empangan terbabit termasuk kerana faktor cuaca.

Empangan tersebut ialah Pedu dan Muda di Kedah; Durian Tunggal, Asahan dan Jus di Melaka; Mengkuang di Pulau Pinang; dan Linggui di Johor.