Dua kes dituduh sejak Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat dua pertuduhan melibatkan kes di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, peruntukan di bawah Seksyen 17A tidak hanya menyasarkan organisasi semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada mana-mana individu termasuk ahli lembaga pengarah atau mereka yang bertanggungjawab dalam sesebuah organisasi.

Beliau berkata, individu yang bertanggungjawab tersebut merangkumi ahli lembaga pengarah, pengawal, pegawai, rakan kongsi atau individu yang berkaitan dengan pengurusan sesuatu organisasi.

Namun begitu kata beliau, kumpulan yang dipertanggungjawabkan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 secara peribadi, melainkan mereka boleh membuktikan tidak bersalah melalui usaha wajar.

"Sehingga kini, dua kes telah berlaku dan didakwa di mahkamah, melibatkan kes penyelenggaraan syarikat luar pesisir pada Mac 2021, sementara kes kedua berkaitan sebuah syarikat perdagangan pada April tahun ini.

"Perkara ini jelas menunjukkan dedikasi SPRM menegakkan undang-undang, selain komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memerangi rasuah," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa The Anti-Bribery Anti-Corruption (ABAC) 2023.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC Center, Zafar Anjum dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berhubung lebihan harta dimiliki seseorang individu, Azam berkata, peruntukan tersebut dilihat efektif bagi pihaknya mendapatkan maklumat.

Jelas beliau, SPRM perlu mendapatkan sesuatu maklumat berkaitan sumber pemilikan aset terutama membabitkan penjawat awam.

Menurutnya, SPRM perlu melihat kepada deklarasi yang dibuat oleh pihak terlibat dan sekiranya bercanggah dengan apa yang disiasat, seseorang itu boleh dituduh kerana membuat kenyataan tidak benar.

Tambahnya, sekiranya penjawat awam didapati mempunyai harta yang berlebihan daripada kemampuan, maka ia satu kesalahan di bawah Seksyen 36 (3) dan pihak terbabit perlu memperjelaskan punca kekayaan itu.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM terbabit dalam siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bermasalah, Azam berkata, pihaknya setakat ini tidak terlibat dalam kes tersebut.

Ini kerana katanya, siasatan kes syarikat penerbangan bermasalah itu bukan berada di bawah perundangan Akta Pencegahan Rasuah SPRM 2009.

"Ia adalah tindakan melibatkan pihak polis dan siasatan bukan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009," ujarnya.

Pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar Datuk bersama isteri dan anak lelaki ditahan polis bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada Isnin, seorang lagi individu iaitu pemegang saham i-Serve direman polis selama lima hari bagi membantu siasatan.