SPRM ambil dokumen daripada Aman Palestin, lakukan siasatan awal

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan daripada pihak Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) bagi menjalankan siasatan lanjut.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, selain memerlukan beberapa dokumen penting daripada Aman Palestin, pihaknya juga perlu mendapatkan penyata serta perincian kewangan pertubuhan amal itu daripada pihak perbankan.

Menurutnya, perkara itu perlu diperoleh bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan ekoran terdapat dakwaan pertubuhan amal terbabit menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

"Kita sedang mendapatkan dokumen daripada Aman Palestin dan pihak bank kerana siasatan akan dilakukan daripada segi pungutan wang dan bagaimana wang itu dibelanjakan.

"Ia ekoran terdapat tohmahan serta laporan berita mendakwa wang yang diperoleh Aman Palestin telah disalahguna," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa The Anti-Bribery Anti-Corruption (ABAC) 2023.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC Center, Zafar Anjum dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Mengulas lanjut, Azam berkata, dalam melakukan siasatan terbabit, pihaknya perlu melihat secara teliti daripada mula pungutan wang itu dibuat dan ke mana wang dibelanjakan.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, Aman Palestin perlu mengikut peraturan dan undang-undang semasa membelanjakan wang berkenaan.

Ditanya sama ada SPRM sudah memanggil pihak pengurusan kanan pertubuhan amal terbabit, Azam berkata, pihaknya masih belum memanggil sesiapa lagi daripada pihak Aman Palestin bagi memberi keterangan.

Begitupun katanya, kerjasama yang baik telah diberikan daripada pihak Aman Palestin dan pengarah syarikat berkenaan berhubung pengumpulan maklumat.

"Pada masa ini kita menumpukan terhadap dokumen yang perlu dikaji dan boleh dikatakan kami perlu membuat forensik akaun.

"SPRM masih belum mengambil sebarang keterangan daripada pihak Aman Palestin, namun telah menemuduga saksi terlebih dahulu.

"Saksi ini membabitkan pihak yang terlibat dalam perbelanjaan dan pengurusan penyata kewangan," ujarnya.

Menurut beliau, terdapat tohmahan dan laporan media tempatan yang mempersoalkan perbelanjaan dibuat oleh Aman Palestin sama ada ia benar-benar untuk kebajikan rakyat Palestin atau sebaliknya.

Katanya, siasatan awal telah dilakukan SPRM sejak minggu lalu apabila terdapat aduan dan perkara itu juga telah dilaporkan oleh pihak media tempatan.

"Saya ingin mengesahkan bahawa SPRM mengambil tindakan proaktif untuk menyiasat perkara ini.

"Ia satu perkara penting kerana ia melibatkan kepentingan awam apabila dana pertubuhan amal itu melibatkan wang daripada orang ramai, maka SPRM perlu siasat dakwaan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, diminta mengulas isu pencetakan buku buku J-Qaf membabitkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, Azam berkata, pihaknya masih belum memanggil bekas Menteri Pendidikan itu berhubung kes terbabit.

"Siasatan masih berjalan dan saya serahkannya kepada pegawai penyiasat SPRM menjalankan tugas," jelasnya.

Pada September, SPRM dilaporkan telah menahan dua individu berhubung siasatan membabitkan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.