Kutipan di 3,000 masjid, surau akan diserah kepada tabung Palestin

Mohd Fared (tengah) menyampaikan piala pusingan kepada johan keseluruhan Pertandingan Global Wakaf Game Negeri Johor 2023 di Dewan Utama MPC, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Isnin.
Mohd Fared (tengah) menyampaikan piala pusingan kepada johan keseluruhan Pertandingan Global Wakaf Game Negeri Johor 2023 di Dewan Utama MPC, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kutipan tabung di 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri selama dua minggu yang berakhir Jumaat ini akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Bantuan Rakyat Palestin Negeri Johor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kutipan itu yang dimulakan pada 13 sehingga 27 Oktober ini akan dikumpulkan pada Selasa ini.

"Kita tidak meletakkan sasaran tetapi kita harap dapat mengutip seberapa banyak yang boleh. Kutipan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia yang mengelolakannya.

"Lebih 850 masjid akan buat kutipan termasuk lebih 2,000 surau dengan jumlah keseluruhannya lebih 3,000 masjid dan surau akan buat kutipan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Pertandingan Global Wakaf Game Negeri Johor 2023 di Dewan Utama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Bandar Baru Uda di sini pada Isnin.

Pada 13 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Tabung itu dilancarkan Perdana Menteri selepas solat selesai menunaikan Jumaat dan solat hajat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata, pihaknya menggalakkan serta menyokong sebarang bentuk perhimpunan dan solidariti untuk rakyat Palestin yang sedang berdepan peperangan dengan Israel.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri juga katanya, meraikan mana-mana pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan ceramah terbuka menyokong perjuangan Palestin tetapi perlu dilakukan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang.

Selain itu Mohd Fared berkata, semua masjid dan surau juga sudah melakukan solat hajat dan bacaan doa qunut Nazilah terutama selepas solat Jumaat sejak konflik Palestin-Israel itu tercetus.

"Mana-mana masjid dan surau yang mengadakan solat hajat selepas solat magrib dan Isyak juga digalakkan. Saya seru umat Islam supaya terus berdoa untuk rakyat Palestin dan ini termasuk juga bukan Islam. Ini kerana isu Palestin adalah isu kemanusiaan," katanya.