SOJC pentas terbaik sebelum bertarung pada kejohanan dunia

Subahan - Foto Bernama
Subahan - Foto Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 dari 27 Oktober hingga 4 November ini merupakan medan terbaik buat skuad hoki remaja negara untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 di Kuala Lumpur Disember depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kehadiran beberapa pasukan yang sama pada kedua-dua kejohanan memberi peluang buat skuad 'Young Tigers' mengasah taring sebelum pertarungan sebenar pada JWC 2023 dari 5 hingga 16 Disember.

Kejohanan SOJC bawah 21 tahun itu bakal disertai pasukan gergasi Great Britain, India, Jerman, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan Pakistan, selain Malaysia selaku tuan rumah.

“Kalau dilihat pada senarai, hampir sebahagian besar pasukan yang akan bermain di JWC akan turun berentap terlebih dahulu di SOJC.

“Ini sebenarnya memberi jurulatih dan pakar melihat sejauh mana kemampuan pasukan kerana kita tidak berpeluang untuk bermain dengan semua,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Subahan berkata, senarai 18 pemain terbaik yang akan beraksi di JWC hanya akan dikemukakan pengendali pasukan Muhamad Amin Rahim selepas SOJC berakhir.

Beliau turut melahirkan harapan agar skuad remaja negara sekurang-kurangnya layak ke suku akhir kejohanan JWC selepas diundi bersama juara bertahan Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile dalam kumpulan A.

Skuad negara akan membuka kempen menentang Chile pada 5 Disember disusuli perlawanan menentang Argentina sehari kemudian dan Australia dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Disember.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu menunjukkan persembahan yang baik, jurulatih mungkin mempunyai sasaran tetapi bagi saya sebagai presiden, saya mahu mereka belajar sebanyak mungkin, memperbetulkannya dan sasaran pertama kami adalah ke suku akhir,” katanya.

Sementara itu, juara enam kali, Jerman berada dalam Kumpulan B bersama naib juara 2013, Perancis, serta Afrika Selatan dan Mesir manakala Kumpulan C membariskan juara dua kali, India yang diundi bersama-sama Korea Selatan serta Kanada.

Kumpulan D yang dilabel sebagai kumpulan maut pula menyaksikan juara dua kali Belanda diundi bersama juara 2016 Belgium, juara 1979 Pakistan dan New Zealand.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir manakala selebihnya akan beraksi bagi peringkat klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16. - Bernama