Pokok hujan-hujan tertua bernilai lebih RM1 juta di Temerloh

Pokok hujan-hujan antara spesies pokok yang terdapat di daerah Temerloh.
Pokok hujan-hujan antara spesies pokok yang terdapat di daerah Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Pokok hujan-hujan atau nama botaninya, 'samanea saman' berusia 110 tahun bernilai lebih RM1 juta dikenal pasti pokok tertua yang ada di daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat memberitahu, ia antara lebih 10,000 pokok yang terdapat di Temerloh setakat ini.

"Kita meletakkan pengimbas pada setiap pokok yang ditanda dan orang ramai boleh mengetahui usia, nilai dan nama botani, tempatan pokok terlibat.

"Setakat ini, sebanyak 301 pokok telah ditanda dan kita berharap dengan kemudahan yang ada ini, ia dapat digunakan sebaik mungkin," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Lanskap MPT, Mohd Yusri Othman memberitahu, jumlah itu telah dimasukkan dalam data inventori sistem yang melibatkan kerjasama dengan MPT dan Jabatan Landskap Negara.

Suris(Kiri) dan Mohd Yusri menunjukkan pengimbas yang boleh diakses orang ramai untuk mengetahui spesies, umur, nilai pokok yang telah ditanda
Suris(Kiri) dan Mohd Yusri menunjukkan pengimbas yang boleh diakses orang ramai untuk mengetahui spesies, umur, nilai pokok yang telah ditanda

Jelas beliau, terdapat 14 spesies pokok yang berada di dalam kawasan penilaian dengan jumlah tertinggi melibatkan 92 pokok bucida, 62 angsana dan 45 hujan-hujan.

Ujar beliau, terdapat 25 jenis pokok bersaiz besar dan berusia 90 tahun ke atas yang tumbuh sekitar daerah itu.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, terdapat spesies lain antaranya tecoma, saga, ketapang, jati dan kita melakukan proses penyiraman, pembajaan dan penyelenggaraan setiap bulan

"Dan nilai pokok dilakukan berdasarkan usia selain tahap oksigen yang ada," jelas Yusri lagi.

Sementara itu, beliau juga memberitahu, proses penandaan pokok terbabit akan diselesaikan secara berperingkat.

Katanya, selain di bandar, ia juga melibatkan pokok-pokok di kawasan taman perumahan.