PM umum dana awal RM1 juta Yayasan Alumni Majlis Belia Malaysia

Anwar berucap pada Jamuan Makan Malam dan Ramah Mesra Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Jamuan Makan Malam dan Ramah Mesra Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan dana awal sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Alumni Majlis Belia Malaysia.

Anwar berkata, usul mewujudkan yayasan itu telah disampaikan kepada beliau, oleh Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, yang bertujuan menjaga kebajikan serta mengiktiraf jasa dan khidmat bekas tokoh belia.

Mengimbau sejarah penubuhan Majlis Belia Malaysia (MBM), Perdana Menteri berkata, ia tercetus daripada ledakan suara anak-anak muda yang menuntut perubahan.

"Pada masa itu dalam keadaan ledakan suara nyaring anak muda menuntut perubahan, dalam generasi yang disebut rising expectations, kemudian rasa kecewa kerana merosot cita-cita murni itu, kerajaan masa itu di bawah Almarhum Tun Abdul Razak, memberi ruang kepada anak muda melontarkan idea tanpa sekatan dalam Majlis Rundingan Belia Negara.

"Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan masa itu Datuk Hamzah Abu Samah seorang yang sabar, memberi ruang kepada kita menyampaikan pandangan dan kritikan, dan itu memberikan kesempatan kepada anak muda yang mahu menegakkan keadilan dan mengusulkan beberapa rancangan yang diberikan pertimbangan oleh kementerian berkenaan pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Alumni Majlis Belia Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, malam ini.

Anwar berkata, di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim, terdapat kesediaan untuk berbincang dengan lebih teliti berhubung program kepada anak muda, yang sebahagiannya turut boleh dilaksanakan bersama badan-badan belia di negara ini.

Pada masa sama, beliau berharap pertubuhan belia di negara ini dapat menjalin kerjasama dan bergabung, untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada anak muda, khususnya aspek kenegaraan dan nilai-nilai murni yang menjadi semangat Malaysia MADANI, meskipun pada zaman kini yang menuntut transformasi digital dan perkembangan teknologi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Perdana Menteri juga berharap kerjasama daripada jabatan dan kementerian lain bagi memberikan ruang dan kemudahan kepada mantan pemimpin belia, untuk terlibat dalam bidang seperti keusahawanan dan perniagaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!