2 pekerja kedai emas mengaku tidak bersalah guna gambar kerabat diraja Kelantan

Tertuduh diiringi oleh anggota polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
Tertuduh diiringi oleh anggota polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua pekerja kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memuat naik iklan perasmian sebuah kedai emas yang memaparkan gambar Tengku Bendahara Kelantan sebagai perasmi di laman sosial Facebook.

Tertuduh, Nor Asri Che Husin, 42, dan Aznizan Yusof, 46, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 16 Oktober lalu sekitar jam 6.55 petang di sebuah premis di Kampung Pasir Kota, di sini dengan memuat naik gambar perasmian iklan kedai emas yang akan disempurnakan oleh Tengku Bendahara Kelantan tanpa kebenaran.

Dua pekerja terbabit telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun mereka tidak mengaku bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua pekerja itu diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Perbicaraan itu ditetapkan pada 23 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh, Timbalan Pendakwaraya Nur Akmal Mohd Bakri.

Artikel Berkaitan:

Sementara kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam, Saiful Adli.

Sinar Harian 21 Oktober lalu melaporkan, seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat dan seorang pekerja kedai emas direman bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan identiti kerabat diraja Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, kedua-dua individu itu masing-masing berusia 42 dan 46 tahun direman selama tiga hari bermula Sabtu.

Rosdi memberitahu, polis menerima laporan pada Isnin lepas mengenai penyalahgunaan identiti kerabat diraja Kelantan bagi iklan pelaburan emas.