X

Kindly register in order to view this article
!

Ingat boleh lepas...

Seorang wanita warga Indonesia cuba bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan anggota penguat kuasa.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tindakan beberapa warga asing yang cuba memanjat tingkat dan bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan pihak penguat kuasa gagal apabila flat yang dihuni mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang malam tadi.

Ops Bersepadu yang dijalankan bermula jam 10 malam dilakukan di Flat Taman Pelangi, Juru dan Flat Taman Kebun Sireh.

Seramai 29 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan selepas mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di negara ini melebihi masa yang dibenarkan.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai lambakan warga asing yang semakin ramai menghuni di dua kawasan flat berkenaan.

Muhamad Husni (berdiri dari kiri) memeriksa warga asing yang ditahan dalam operasi itu malam tadi.
Muhamad Husni (berdiri dari kiri) memeriksa warga asing yang ditahan dalam operasi itu malam tadi.

Menurutnya, walaupun beberapa siri serbuan telah dilakukan pihaknya sebelum ini namun warga asing itu seolah-olah tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang telah dilakukan.

"Kita dapati terdapat beberapa pemilik rumah yang mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan menyewa rumah kepada warga asing walaupun mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Hasil siasatan kita mendapati pemilik rumah mengenakan bayaran sewa di antara RM1,200 hingga RM2,000 kepada warga asing," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Muhamad Husni berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun bekerja kilang dan juga pembantu kedai, dengan menyewa rumah sendiri dan bukan melalui majikan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan 13 wanita melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan Pakistan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) ( c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 55).

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus