Penggunaan kalimah ALLAH dibentang kepada Majlis Raja-Raja minggu ini

Saifuddin Nasution ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto: Bernama
Saifuddin Nasution ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan arahan pentadbiran baharu berkaitan penggunaan kalimah Allah dijadual dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini cadangan arahan pentadbiran baharu itu telah dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata, cadangan itu adalah hasil agenda sesi libat urus yang dilakukan sebanyak lima kali bagi mendapat maklum balas dan input terkait perkara berkenaan.

"Jadi hasil libat urus, perbincangan dah ada, dah bentang pada Sultan Selangor dan peringkat seterusnya pembentangan kepada Majlis Raja-Raja yang akan dilakukan oleh sekretariat MKI.

"Segala hasil daripada pembentangan itu kelak, akan digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menghasilkan satu garis panduan baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang mahu mengetahui perkembangan berkaitan isu kalimah Allah dan apakah langkah yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Muhyiddin mengenai pendirian kerajaan berhubung isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R), Saifuddin berkata, Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 adalah asas perundangan yang digunakan.

"Pendirian kerajaan, apa juga perbuatan, kenyataan, hantaran, ucapan dan seumpamanya yang bertentangan dengan undang-undang untuk hal 3R adalah tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Provokasi, hasutan libatkan Raja-Raja boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan, selain daripada itu akan atau boleh guna Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Menurutnya sehingga kini 104 kes berkaitan dengan isu-isu 3R sedang disiasat oleh pihak polis melibatkan kedua-dua pihak sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang. - Bernama