Tak mengaku bawa pisau ke stadium

Azrul Faiz (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.
Azrul Faiz (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Seorang penyokong bola sepak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin kerana membawa sebilah pisau ketika perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim minggu lalu.

Tertuduh, Azrul Faiz Mohd Rosli, 31, didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam yang merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di pintu masuk B, Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan di sini pada 19 Oktober 2023.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM6,000, namun peguam tertuduh meminta mahkamah memberikan pengurangan pada jumlah paling minimum.

Alasan diberikan kerana tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,800 sebulan selain mempunyai tanggungan iaitu isteri, tiga anak dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenar tertuduh dijamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Kathan.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 Oktober lalu media melaporkan polis telah menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan JDT di Stadium Perak pada Khamis lalu.

Seorang daripada penyokong itu telah dihukum denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, pada Jumaat.

Lelaki berusia 25 tahun itu mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas pegawai polis.