Ahli Parlimen dilarang gelar kafir, Zionis, Yahudi sesama sendiri

Johari Abdul. - Foto Bernama
Johari Abdul. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat melarang ahli Parlimen daripada terus label-melabel antara mereka terutama dengan gelaran kafir, Zionis dan Yahudi pada sesi persidangan Dewan Rakyat berkuat kuasa Isnin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya gelaran sebegitu dibangkitkan lagi.

"Kita telah mengharungi empat hari perbahasan Belanjawan 2024 sepanjang minggu lalu. Dalam perbahasan ahli-ahli Yang Berhormat, pelbagai hujah dan pendirian telah diutarakan yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati.

"Kenyataan-kenyataan (itu) mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian (serta) bersifat label-melabel antara kita. Ini termasuk kenyataan kafir, Zionis dan Yahudi antara ahli-ahli Yang Berhormat," katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan.

Johari menegaskan, perbuatan label-melabel itu menyalahi Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menggunakan perkataan-perkataan yang menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuh-musuhan antara satu kaum dengan kaum yang lain di Malaysia.

"Oleh itu saya menyeru semua ahli-ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan kafir, Zionis dan Yahudi apatah sekarang ini dalam suasana yang tidak kondusif langsung dan lain-lain perkataan yang sama maksudnya antara Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian.

"Yang Berhormat hendaklah menunjukkan tingkah laku yang terpuji semasa mengetengahkan isu-isu rakyat dan negara. Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu," tambahnya.

Beliau turut meminta semua ahli Parlimen membuka lembaran baharu dan melupakan isu panas yang berlaku pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Biarkanlah perbahasan ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar di sana," katanya.