JDT azam beri aksi terbaik berdepan Ulsan Hyundai

No Image Caption
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam untuk memberikan aksi terbaik dan membawa pulang mata pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL), berdepan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu, pada Selasa.

Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari, kejayaan menewaskan gergasi Thailand, BG Pathum United diharap menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain bagi merealisasikan misi kemenangan ke atas skuad yang terkenal dengan gelaran The Tigers itu.

“Pemain diharap bersemangat menjelang pertemuan dengan Ulsan Hyundai ini kerana ia merupakan aksi penting untuk kita mengukuhkan kedudukan dan mengintai peluang mengukuhkan kedudukan.

“Kami tidak dapat berlatih bersama-sama kerana semua pemain terlibat setelah tugasan bersama skuad kebangsaan, namun kini kami kembali berlatih bersama-sama bagi mengharungi aksi getir tersebut.

“Apa pun, kami perlu bersedia selain memanfaatkan setiap peluang yang ada jika mahu mencatatkan kejayaan yang diidam-idamkan,” katanya menjelang aksi berkenaan.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu kini berada pada kedudukan kedua di belakang kelab Jepun, Kawasaki Frontale setelah meraih tiga mata hasil kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum United, 3 Oktober lalu.

JDT tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi sulung Kumpulan I, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 19 September lalu.

Sementara itu Solari berharap kesemua pemain bersedia bagi mengharungi perlawanan berkenaan dan seterusnya mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

“Kami tahu memang sukar untuk menentang pasukan juara seperti Ulsan (Hyundai). Mereka ‘juara’ di Korea Selatan.

“Namun, sasaran utama kami adalah untuk mara ke pusingan seterusnya dan oleh itu, kesemua pemain diharap dapat memberikan aksi terbaik masing-masing merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.