JDT akur kualiti Ulsan

Bergson (kanan) penggempur JDT diasak pemain Ulsan dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium Bolasepak Munsu, Ulsan, Korea Selatan pada Selasa. - Foto: Johor Southern Tigers
Bergson (kanan) penggempur JDT diasak pemain Ulsan dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium Bolasepak Munsu, Ulsan, Korea Selatan pada Selasa. - Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

MISI wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih keputusan positif dari Stadium Bolasepak Munsu, laman Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada kelab Korea Selatan tersebut pada Selasa.

Anak buah Esteban Solari yang hadir dengan misi meraih tiga mata bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik terlebih dulu dikejutkan jaringan awal Jung Seung-hyun seawal minit kelima.

Harimau Selatan yang mengejutkan kelab Thailand, BG Pathum United, 4-2 sebelum ini terus ketinggalan apabila tuan rumah menambah dua lagi jaringan selepas itu.

Dua gol penyerang kelahiran Gothenburg, Sweden, Gustav Ludwigson berusia 30 tahun pada minit ke-12 dan 18 melebarkan lagi pendahuluan pasukan The Tigers.

Bagaimanapun anak buah Hong Myung-bo terpaksa bermain 10 pemain baki separuh masa pertama selepas itu apabila tonggak pertahanan Kim Tae-hwan dilayangkan kad merah pada minit ke-36 setelah menerima kad kuning kedua

Separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali memperkemaskan permainan menggandakan asakan bagi mengurangkan defisit gol pasukan pelawat.

Hasilnya penyerang sensasi Harimau Selatan, Bergson da Silva berjaya menjaringkan gol pada minit ke-53 untuk keputusan 3-1 berpihak The Tigers.

JDT akan kembali berdepan Ulsan bagi aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ibrahim (7 November) diikuti kunjungan ke Stadium Olahraga Todoroki berdepan Kawasaki Frontale (28 November).

Artikel Berkaitan:

Anak buah Solari akan melabuh kempen Kumpulan I dengan menentang Pathum United di Iskandar Puteri pada 12 Disember.