Lebih 20 rumah ditenggelami banjir di Sik

Rumah penduduk yang ditenggelami banjir di Kampung Lubuk Tualang, Sik pada Ahad.
Rumah penduduk yang ditenggelami banjir di Kampung Lubuk Tualang, Sik pada Ahad.
A
A
A

SIK - Hujan lebat di Mukim Chepir di sini menyebabkan lebih 20 rumah ditenggelami banjir termasuk sebuah titi hanyut dibawa arus deras dalam kejadian petang Ahad.

Seorang penduduk, Suhaimi Abdullah, 53, berkata, antara kampung dikenal pasti terjejas ialah Kampung Lubuk Tualang dan Kampung Belimbing sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Menurutnya, kebanyakan rumah yang dinaiki air disebabkan hujan lebat tanpa henti beberapa jam bermula kira-kira 4 petang.

"Air naik mendadak berikutan hujan lebat selain kedudukan rumah berdekatan tebing sungai.

"Titi Charuk Seluang di Kampung Lubuk Tualang juga hanyut dibawa arus deras selain beberapa jalan raya juga dinaiki air menyebabkan ramai penduduk terkandas," katanya.

Selain itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya turut menerima maklumat kenaikan paras air di beberapa rumah penduduk di Mukim Soh dan Mukim Sik.

Anggota Pertahanan Awam Malaysia sedang memantau keadaan banjir dan membantu menyelamatkan mangsa di lokasi terjejas dekat Sik, Kedah. - Foto APM
Anggota Pertahanan Awam Malaysia sedang memantau keadaan banjir dan membantu menyelamatkan mangsa di lokasi terjejas dekat Sik, Kedah. - Foto APM

Menurutnya, berdasarkan laporan, Kampung Banggol Kiat, Taman Derdap dan Kampung Jerai (Mukim Sik) serta Kampung Pinang dan Kampung Surau (Mukim Soh) antara yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, jumlah mangsa dan keluarga terjejas masih dalam siasatan," katanya.

Jelasnya, pada jam 7.58 malam, Pusat Kawalan Operasi Daerah Sik telah menerima laporan terdapat orang awam yang telah berpindah ke Balai Islam Kampung Jerai.

"Kita turut menerima laporan bahawa terdapat penduduk masih terperangkap di Kampung Jerai dan kini sedang memantau serta mengesan mereka yang terjejas bagi menyelamatkan mangsa," katanya.