Identiti budaya terserlah di pentas Persona Wanita DUN Dong

Gubahan sirih antara yang turut dipertandingkan pada karnival tersebut. Foto Sinar Harian
Gubahan sirih antara yang turut dipertandingkan pada karnival tersebut. Foto Sinar Harian
A
A
A

RAUB - Kebaya Jawa, kepelbagaian budaya masyarakat Orang Asli dan sajian tradisional Pahang antara keunikan yang diketengahkan peserta menerusi Karnival Persona Wanita DUN Dong 2026 yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Raub di sini pada Ahad.

Rata-rata peserta yang ditemui Sinar Harian berpendapat karnival tersebut memberi peluang kepada mereka mengetengahkan latar belakang budaya masing-masing menerusi pertandingan dan aktiviti yang disediakan.

Bagi Nur Ezrin Hanani A Rahman, 24, berkata, penyertaannya dalam pertandingan Ratu Kebaya menjadi peluang untuk memperkenalkan pakaian tradisional Jawa yang mempunyai kaitan dengan latar belakang dirinya.

“Saya memperagakan kebaya Jawa kerana saya juga berketurunan Jawa dan menetap di Kampung Sungai Pasu yang mempunyai ramai masyarakat keturunan Jawa.

“Ini satu peluang untuk menonjolkan bukan setakat Melayu dan Orang Asli, tetapi juga orang Jawa,” katanya ditemui pada Ahad.

Para peserta turut memperagakan kebaya pada karnival berkenaan. Foto Sinar Harian.
Para peserta turut memperagakan kebaya pada karnival berkenaan. Foto Sinar Harian.

Dia berkata, penyertaan masyarakat Orang Asli dalam karnival tersebut turut memberikan kelainan apabila mereka bukan sahaja menyertai pertandingan, malah turut menampilkan persembahan kebudayaan.

“Rasa teruja sebab tak sangka sebenarnya bukan setakat Melayu sahaja yang menyertai. Ada juga Orang Asli yang turut serta dan membuat persembahan, selain bercampur dengan tarian orang Melayu,” ujarnya.

Bagi peserta dari Kampung Orang Asli Sungai Yol, Rozita Maarof, 36, berkata, penyertaan itu merupakan pengalaman pertamanya dan membuka ruang untuk bergaul dengan peserta daripada latar belakang kaum berbeza.

Dia mengakui berasa teruja apabila terpilih menyertai pertandingan berkenaan walaupun pada awalnya turut berasa malu untuk tampil di hadapan khalayak.

"Memang ada rasa malu, tetapi semangat untuk menyertai program ini lebih kuat kerana jarang masyarakat Orang Asli terpilih ke tahap ini.

“Kalau ada rezeki menang hari ini, kira tercapailah cita-cita saya untuk naik pentas,” katanya.

Dalam pada itu, Salmah Ismail, 63, dari Kampung Lembah Kelau, Raub berkata, dia bersama dua lagi peserta menyediakan pais ikan patin tempoyak dalam pertandingan memasak.

Peserta karnival turut berentap dalam acara memasak ikan patin tempoyak pada karnival tersebut. Foto Sinar Harian.
Peserta karnival turut berentap dalam acara memasak ikan patin tempoyak pada karnival tersebut. Foto Sinar Harian.

Suri rumah itu berharap karnival berkenaan diteruskan hingga generasi akan datang kerana menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai golongan berbeza peringkat umur.

“Kalau boleh, lanjutkanlah sampai generasi akan datang sebab ada macam-macam keunikan program.

“Apabila terbuka kepada remaja, dewasa dan orang macam kita, mereka rasa macam diraikan,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Aini Nadira Saadun, 38, yang bertugas di Pejabat Belia Raub berkata, karnival berkenaan merupakan penyertaan pertamanya dan memberi peluang untuk melihat kepelbagaian kebudayaan serta pakaian tradisional.

Menurutnya, pendedahan mengenai pakaian tradisional penting untuk generasi muda yang mungkin kurang mengenali busana masyarakat terdahulu.

"Saya rasa program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang untuk memberi pendedahan kepada generasi baharu, terutama golongan muda yang mungkin tidak mengenali pakaian tradisional.

“Pada zaman moden ini, mereka mungkin tidak tahu bagaimana pakaian tradisional masyarakat kita pada zaman dahulu,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!