Kuala Selangor sedia hadapi banjir

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Raiz)
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Raiz)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut.

Pengerusinya, Mohd Raiz Radzuan berkata, sebanyak 11 pam disediakan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengeluarkan air terutama di kawasan rendah.

Menurut beliau, penyediaan pam itu merupakan langkah awal bagi mengurangkan risiko banjir akibat hujan berterusan.

"Selain itu, kita juga telah membuat kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti longkang dan parit utama bagi mengelakkan air terkumpul yang boleh mengakibatkan banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Raiz berkata, terdapat tiga kawasan berisiko banjir setiap kali musim hujan di daerah itu iaitu di Parit Mahang, Kampung Asahan dan Tanjong Karang.

Beliau memberitahu, sebanyak 61 pusat pemindahan sementara (PPS) juga sedia diaktifkan yang mampu menampung penduduk di daerah berkenaan.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor berkata, pengurusan PPS yang dikawal selia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran.

Katanya, antara persediaan lain termasuklah mengadakan simulasi bencana banjir dan kebakaran hutan bakau di daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Simulasi ini penting bagi kita menghadapi keadaan sebenar dan bagaimana kita dapat memberi bantuan kepada penduduk terjejas," jelasnya.

Daerah Kuala Selangor antara kawasan berisiko banjir di negeri ini setiap kali hujan berterusan terutama jika berlaku pertembungan fenomena air pasang besar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!