Pas lulus usul tubuh suruhanjaya semak agihan kuasa

Siti Mastura
Siti Mastura
A
A
A

SHAH ALAM - Muktamar Pas kali ke-69 pada Sabtu telah meluluskan usul bagi mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya untuk menyemak semula agihan kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Perwakilan Muslimat, Dr Siti Mastura Muhammad berkata, negara akan terdedah dengan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan gagal memberi khidmat terbaik kepada rakyat jika kerajaan Persekutuan diberikan pemusatan kuasa yang terlalu besar.

Menurutnya, ia juga akan menyebabkan berlakunya diskriminasi secara terang-terangan kepada negeri ditadbir parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu suruhanjaya ini dianggotai rentas negeri, parti, kaum dan bangsa. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu menghormati serta mematuhi segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan agihan kuasa.

“Kerajaan juga perlu pertimbangkan agihan kuasa secara serius dengan memberikan lebih kuasa kepada negeri-negeri, bukan sahaja kepada Sabah dan Sarawak bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Hubungan yang baik juga perlu ada antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pelbagai aspek pelaksanaan kuasa yang terkandung dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mencadangkan usul berkenaan.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut meminta supaya kerajaan tidak bersikap ‘double standard’ sama ada daripada segi layanan kepada ketua kerajaan atau mana-mana kakitangan negeri dalam agihan peruntukan serta projek pembangunan.

Tambahnya, agensi atau mana-mana badan berkanun yang ditubuhkan untuk mengalihkan peruntukan pembangunan negeri di bawah kawalan kerajaan negeri juga harus dimansuhkan.

Artikel Berkaitan:

Usul itu kemudian disokong perwakilan dari Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi sebelum dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.