Kualiti udara negara semakin baik

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beriadah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wan Abdul Latiff)
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beriadah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wan Abdul Latiff)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kualiti udara di negara ini semakin baik susulan tiada rekod menunjukkan bacaan tidak sihat ketika ini.

Menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini menunjukkan peningkatan dengan 26 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 42 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana pada pagi Sabtu.

Malah katanya, tidak ada titik panas (hotspot) yang dikesan di negara ini berdasarkan kepada laporan daripada pihak ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

“Tidak ada titik panas dikesan di negara ini namun berdasarkan kepada imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, tiga titik panas dikesan di Sumatera dan 22 titik panas di Kalimantan, Indonesia.

“Bagaimanapun, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada semalam pula menunjukkan taburan titik panas dan keadaan berjerebu semakin berkurangan di Kalimantan dan Sumatera disebabkan hujan yang dialami di sebahagian besar kawasan ASEAN Selatan dalam beberapa hari ini,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata demikian pada sidang akhbar sempena Hari Alam Sekitar Negara 2023 yang disempurnakan perasmiannya oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mutiara Rini di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu Wan Abdul Latiff berkata, kualiti udara di negara semakin bertambah baik, namun pemantauan berterusan masih perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, langkah itu dibuat sebagai persediaan awal sekiranya keadaan kualiti udara didapati buruk dan agak kritikal pada masa akan datang.

“Kualiti udara ini perlu dipantau dari semasa ke semasa. Apa pun, kita percaya pihak Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa bagi memastikan NRECC dan agensi-agensi terlibat dengan pengurusan bencana jerebu dapat bertindak dengan lebih cepat dan responsif," katanya.