Pembinaan rumah tol boleh disambung semula jika dapat kelulusan MPB

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Rose Samsul)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Rose Samsul)
A
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan rumah tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands yang dikeluarkan notis berhenti kerja Rabu lalu hanya boleh disambung semula sekiranya syarikat pembinaan terlibat mengemukakan permohonan dan mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Bentong (MPB).

Yang Dipertua MPB, Datuk Rose Samsul Abdul Razak berkata, setiap projek pembangunan perlu dikemukakan permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dinilai dan diproses sebelum diluluskan.

Menurutnya, pelan bangunan, jalan dan parit dan lain-lain yang berkaitan juga perlu dikemukakan bersama permohonan tersebut.

"Dalam isu pembinaan rumah tol di Gohtong Jaya ini, syarikat pembinaan tidak memberikan sebarang pelan pembinaan atau surat permohonan izin kepada pihak berkuasa sebelum pembinaan bermula.

"Atas sebab itu, MPB telah mengeluarkan notis arahan berhenti kerja kepada projek itu pada Rabu lalu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Rose Samsul berkata, tempoh notis arahan berhenti kerja itu bergantung kepada syarikat pembinaan terbabit untuk mengemukakan permohonan bagi kelulusan projek tersebut.

"Cepat mereka mohon, cepatlah kita proses dan mempertimbangkan kelulusan sekiranya menepati syarat yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, bidang kuasa MPB hanya melibatkan kepada pembinaan struktur itu.

Artikel Berkaitan:

"Isu pelaksanaan tol di laluan itu di luar bidang kuasa PBT," katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.

Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.

Difahamkan syarikat itu bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan dan menyelenggara jalan.