Pahang tidak pernah bincang kenakan caj tol ke Genting Highlands

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Leong Yu Man
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Leong Yu Man
A
A
A

BENTONG - Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah membincangkan mengenai rancangan memperkenalkan caj tol perjalanan sehala kepada pengunjung ke Genting Highlands.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan semasa mesyuarat Exco negeri.

"Belum ada apa-apa yang rasmi mengenai laporan berita itu. Kami (kerajaan negeri) tidak pernah membincangkan cadangan tol.

"Saya sedang mengumpul butiran lanjut mengenai perkara itu dan biar saya mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dahulu," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd berkata, syarikat itu akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi tersebut.

“Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan.

"Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menyelenggara jalan di tanah tinggi sejak membinanya pada pertengahan 60-an,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!