Penyokong Perak FC direman, denda RM1,500

Polis menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak pada Khamis. Gambar kecil: Yahaya
Polis menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak pada Khamis. Gambar kecil: Yahaya
A
A
A

IPOH - Dua penyokong bola sepak yang ditahan ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak pada Khamis dikenakan denda dan reman selama dua hari.

Kedua-duanya yang merupakan penyokong Perak FC masing-masing berusia 25 dan 31 tahun ditahan antara jam 8.45 malam dan 11.15 malam di pintu masuk stadium.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan lelaki berusia 25 tahun dibuat selepas didapati menghalang tugas polis dan mengeluarkan kata kesat kepada pegawai bertugas.

Katanya, siasatan terhadap lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

"Tangkapan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas kesalahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, seorang lagi tangkapan masih berada dalam tahanan reman polis sehingga esok (Sabtu) bagi siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, lelaki berusia 31 tahun itu dikesan membawa sebilah pisau pendek semasa pemeriksaan keselamatan oleh polis di pintu masuk B, Stadium Perak.

Artikel Berkaitan:

"Pihak siasatan memperolehi arahan pertuduhan daripada timbalan pendakwa raya dan pertuduhan akan dibuat pada 23 Oktober nanti," katanya.

Sinar Harian melaporkan, dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak ditahan dan dibawa keluar polis dari stadium dalam keadaan tangan bergari.

Tangkapan ke atas penyokong itu bagaimanapun hanya melibatkan kesalahan kecil tanpa sebarang isu rusuhan atau pergaduhan.

Perlawanan di hadapan 21,613 penonton pada Khamis berkesudahan dengan JDT mengatasi tuan rumah dengan jaringan 4-1.

Dalam perlawanan itu, seramai 397 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah ditugaskan bagi mengawal ketat keadaan keluar masuk pemain dan penyokong.

Untuk rekod, pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong The Bos Gaurus dan Harimau Selatan tercetus di luar pekarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak

Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila Perak sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan ia turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media.