Syria Care sasar 756 kotak pakaian musim sejuk

Sukarelawan menyusun atur pakaian musim sejuk yang disumbangkan oleh orang ramai. Gambar kecil: Siti Sakinah
Sukarelawan menyusun atur pakaian musim sejuk yang disumbangkan oleh orang ramai. Gambar kecil: Siti Sakinah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Syria Care menyasarkan sebanyak 756 kotak pakaian sejuk untuk pelarian Syria menerusi projek ‘Warm Their Winter’ yang berlangsung hingga 22 Oktober di Dewan Melati Seksyen 7 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, projek pengumpulan ini bertujuan membuka peluang kepada orang ramai untuk membantu pelarian secara langsung dengan pemberian pakaian musim sejuk baharu atau terpakai.

“Setakat 20 Oktober 2023, projek ini berjaya mengumpulkan sebanyak 620 kotak pakaian sejuk baharu dan terpakai, setiap kotak dianggarkan seberat 10 hingga 15 kilogram.

“Syria Care yakin dalam masa berbaki dua hari lagi sasaran 756 kotak akan berjaya dicapai memandangkan sokongan yang ditunjukkan orang ramai di Lembah Klang dan juga luar dari negeri Selangor begitu baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sukarelawan menguruskan pakaian musim sejuk yang disumbangkan oleh orang ramai.
Sukarelawan menguruskan pakaian musim sejuk yang disumbangkan oleh orang ramai.

Tambah beliau, untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar, dana berjumlah RM150,000 diperlukan bagi memastikan pakaian yang diberikan oleh orang ramai sampai kepada pelarian Syria sebelum musim sejuk bermula.

Justeru, Siti Sakinah menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada tabung ‘Warm Their Winter’ menerusi akaun Maybank (562106653575) atau CIMB (8601894560) dengan rujukan ‘winteraid’.

“Sehubungan itu, Syria Care mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi memastikan penghantaran bantuan dapat dibuat dengan seberapa segera,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kejayaan projek tersebut disumbangkan oleh khidmat sukarelawan dari Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Management Science University (MSU), Kolej Poly-Tech Mara cawangan Bangi (KPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Nilai dan Universiti Malaya (UM).

Ujarnya, ia juga mendapat kerjasama serta sokongan Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation, Qalby App, World Peace Entertainment, Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP ZON 3), De Haramain, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen serta Jakel Shah Alam.