Palestin, namamu dalam doa kami!

Israel sekali lagi meneruskan pelan pengkhianatan untuk menakluki bumi yang pernah menjadi tempat lahir pada Nabi dan Rasul

PENGEBOMAN di Gaza, membantai habis-habisan umat Palestin di negara mereka sendiri.
PENGEBOMAN di Gaza, membantai habis-habisan umat Palestin di negara mereka sendiri.
A
A
A

KRISIS Palestin dan Israel kian memburuk. Sejak hampir dua minggu lalu angka kematian mencecah 2,808 orang manakala lebih 10,000 orang cedera. Bahkan baru-baru rakyat Malaysia dikejutkan dengan kematian tragis seorang calon Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bersama isteri dan anak-anaknya dalam serangan lebih 6,000 bom oleh rejim zionis Israel laknatullah di Gaza, Palestin.

Dalam suasana aman yang dinikmati oleh umat Islam di Malaysia, rakyat di tebing Gaza dihurung kelaparan, bergelap dan tidak tentu arah kerana kekejaman tentera Israel. Terasa seperti penghapusan rakyat Palestin secara besar-besaran sedang berlaku.

Bayangkan senario sama berlaku di negara kita. Pasti luluh hati mendengar tangisan anak-anak kecil disulami rintihan orang-orang tua dan mangsa cedera yang terlantar.

Hakikatnya, satu ketika dahulu suasana aman dan bebas pernah dinikmati penganut Kristian dan Yahudi di bawah pemerintahan Islam di negara itu sebelum dijajah British.

Sehinggalah munculnya perancangan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland pada 1897 untuk mendirikan tanah air Yahudi di Palestin lalu meranapkan segala keindahan itu.

Theodore Herzl menuntut Khalifah Uthmaniyah menyerahkan wilayah Palestin dengan rundingan jual beli.

Permintaan itu ditolak oleh Sultan Turki dan Zionis bertindak balas dengan mencetuskan krisis yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Artikel Berkaitan:

GUGURNYA para syuhada akibat kekejaman tentera Zionis di Gaza, Palestin. /Gambar kecil: DR ZAIZUL AB RAHMAN
GUGURNYA para syuhada akibat kekejaman tentera Zionis di Gaza, Palestin. /Gambar kecil: DR ZAIZUL AB RAHMAN

Ia telah mengakibatkan beberapa wilayah dalam jajahan Uthmaniyah jatuh ke tangan Perancis dan British.

Perjanjian Balfour yang ditandatangani pada 1917 meletakkan Palestin di bawah naungan British, sekaligus memberi mandat kepada Yahudi untuk memasuki Tebing Barat. Akhirnya, peristiwa yang amat menyedihkan umat Islam pada kurun ini telah terjadi.

Dominasi aparteid

Pengisytiharan negara haram Israel pada 1948 telah menyemarakkan peranan Zionisme untuk mengusir, menghapuskan dan merampas bumi Palestin dari umat Islam.

Hari ini, sekali lagi kita dikejutkan dengan agenda dunia yang kononnya disebut ‘deal of the century’ dan mengisytiharkan Al-Quds sebagai ibu kota Israel untuk menyerahkan bandar suci Jerusalem dengan begitu mudah kepada Israel.

Zionis meneruskan dominasi pendudukan seperti dasar aparteid ke atas rakyat Palestin tanpa menghiraukan perasaan jutaan umat Islam yang terkesan atas kezaliman mereka membantai habisan-habisan saki baki rakyat Palestin di bumi sendiri.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa Israel dan sekutunya sekali lagi akan meneruskan pelaksanaan pelan pengkhianatan ini untuk terus menakluki bumi Palestin dengan direstui oleh negara-negara Islam!

GUGURNYA para syuhada akibat kekejaman tentera Zionis di Gaza, Palestin.
GUGURNYA para syuhada akibat kekejaman tentera Zionis di Gaza, Palestin.

ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Ma'idah ayat 21 hingga 24 yang bermaksud: “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh ALLAH untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)."

Terus bermunajat, istiqamah berdoa

Sesungguhnya Palestin begitu istimewa di sisi umat Islam kerana di sana bukan sahaja menjadi tempat lahir para nabi dan rasul bahkan di situ juga tertegaknya Masjid al-Aqsa.

Ia bukan sahaja berkait dengan pegangan agama bahkan menjadi adalah salah satu tempat suci umat Islam selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Lebih-lebih lagi ia merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.

Masjidil Aqsa juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjidil Haram (Makkah), Masjidil Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi).”

Justeru, apa tindakan kita, cukupkah sekadar meluahkan simpati di media sosial tatkala insan sesama agama kini dizalimi Zionis?

Pertamanya, marilah panjatkan doa untuk pejuang-pejuang Palestin dalam munajat pada malam hari.

TERUS panjatkan doa buat pejuang-pejuang dan rakyat Palestin saban waktu untuk kesejahteraan dan kesemalatan mereka. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
TERUS panjatkan doa buat pejuang-pejuang dan rakyat Palestin saban waktu untuk kesejahteraan dan kesemalatan mereka. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang hamba yang Muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: Dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).” ( Hadis Riwayat Muslim)

Kedua, infakkanlah sedikit wang untuk mereka, sebagaimana sabda Nabi: “Kamu melihat orang-orang yang beriman dalam berkasih-sayang, hubungan cinta mereka dan saling berbuat baik sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada bahagian tubuh yang berasa sakit, maka bahagian tubuh yang lain ikut tidak boleh tidur dan merasa demam." (Hadis Riwayat Bukhari)

***Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman ialah Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat