Geng Amekgay antara tujuh sindiket curi peti besi tumpas

Antara peti besi yang berjaya dirampas semula menerusi beberapa siri tangkapan dalam Op Black Shadow oleh polis Sabah.
Antara peti besi yang berjaya dirampas semula menerusi beberapa siri tangkapan dalam Op Black Shadow oleh polis Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah berjaya menumpaskan tujuh sindiket pecah rumah dan curi peti besi yang menyebabkan kerugian mencecah RM1.2 juta di beberapa daerah di negeri ini.

Tangkapan melibatkan seramai 64 orang itu dibuat menerusi Op Black Shadow yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sejak Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pelbagai kejadian jenayah berlaku di negeri ini dan antara yang menarik perhatian pihaknya ialah kes pecah rumah dan kecurian peti besi di Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan dan Ranau.

"Hasil daripada operasi tersebut, polis Sabah berjaya menumpaskan tujuh sindiket dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan peti besi.

Mereka ini ada yang dikenali sebagai kumpulan Boy Lembaga, kumpulan Amekgay, kumpulan Kanchil, kumpulan Sultan, kumpulan Along, kumpulan Tumpong dan kumpulan Boy Penampang.

"Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada 51 warga tempatan dan 13 lagi warga asing.

Tangkapan ini juga turut melibatkan individu yang bertindak sebagai pembeli dan ada juga kakitangan awam berperanan sebagai individu menjual barangan curi tersebut," katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah, di Kapayan, di sini, pada Jumaat.

Tambah Jauteh lagi, modus operasi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan kawasan perumahan mewah yang dipercayai mempunyai peti besi.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan ini juga menggunakan kenderaan yang disewa atau curi dengan memalsukan nombor pendaftaran kereta untuk melakukan aktiviti pecah rumah.

"Kumpulan ini memecah masuk melalui pintu utama ataupun pintu di bahagian dapur dengan cara mengumpil mengunakan kuku kambing atau besi telimbok," katanya.

Katanya lagi, sebanyak 83 kes pecah rumah dan peti besi berjaya diselesaikan susulan daripada tangkapan berkenaan dan pelbagai barangan berharga milik mangsa yang terlibat turut dirampas semula.

"Tangkapan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat.

"Siasatan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen dan juga Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 juga diambil terhadap suspek yang tidak memiliki dokumen yang sah dan juga kesalahan dadah," jelasnya.

Sebelum itu, Jauteh turut mendedahkan statistik yang direkodkan bagi jenayah pecah rumah di negeri ini adalah sebanyak 1,028 kes bagi tempoh Januari hingga September 2023 berbanding 993 kes pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 35 kes bersamaan 3.52 peratus.

"Melihat kepada senario ini, JSJ IPK Sabah memfokuskan kepada tindakan komprehensif dan bersepadu terhadap penjenayah bagi kes pecah rumah dan peti besi yang berlaku," tegasnya.

Empat premis diserbu terlibat aktiviti judi dalam talian, penipuan

Dalam perkembangan berasingan, Jauteh berkata, usaha membanteras kegiatan perjudian dan penipuan dalam talian diteruskan menerusi beberapa siri serbuan serta berjaya menumpaskan empat premis yang dijadikan sebagai pusat perjudian di beberapa daerah di negeri ini.

"Serbuan melibatkan empat premis iaitu dua di Penampang dan masing-masing satu di Papar serta di Kota Kinabalu.

Tangkapan melibatkan lebih 40 individu terdiri daripada pemilik dan pekerja premis termasuk operator.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, premis tersebut didapati terlibat dengan aktiviti perjudian dan menyasarkan mangsa di luar negara selain terdapat premis melakukan aktiviti penipuan menawarkan pembelian barang yang tidak wujud," katanya.

Tambah beliau lagi, kebanyakan mereka berselindung di sebalik operasi pusat komputer atau berada di kawasan perumahan jenis apartment bagi menjalankan aktiviti itu.

"Kaedah komunikasi antara operator dengan pelanggan adalah melalui telefon dan penggunaan aplikasi media sosial.

"Modus operandi sindiket adalah dengan mempromosi laman web perjudian, mendaftar dan mengendali keahlian pemain judi, menyediakan platform untuk bermain judi, menawarkan habuan bagi setiap kemenangan perjudian dalam talian.

"Pelbagai barang turut dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut termasuk komputer, telefon bimbit, kad bank dan lain-lain," katanya.