Di Sebalik Isu Bersama FY kupas operasi Taufan Al-Aqsa

Program yang dihoskan oleh Finaz Yunus akan bersiaran secara langsung jam 8.30 malam ini menerusi portal sinarharian.com.my serta laman sosial rasmi Sinar Harian.
Program yang dihoskan oleh Finaz Yunus akan bersiaran secara langsung jam 8.30 malam ini menerusi portal sinarharian.com.my serta laman sosial rasmi Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program bual bicara Di Sebalik Isu Bersama FY pada malam ini akan mengupas hala tuju operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan Hamas, hampir dua minggu lalu.

Program terbitan Sinar Harian itu menampilkan figura yang disegani di dalam dan luar negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang panel di pentas panas tersebut.

Dengan tajuk Taufan Al-Aqsa, Ke Mana Akhirnya, program berkenaan turut menampilkan aktivis yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri dan mantan Pegawai Kanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral (B) Anas Hasan.

Program yang dihoskan oleh Finaz Yunus akan bersiaran secara langsung jam 8.30 malam ini menerusi portal sinarharian.com.my serta laman sosial rasmi Sinar Harian.

Pada perkembangan berkaitan, Pakar Geostrategi Profesor Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia dan seluruh dunia perlu menyatakan sokongan terhadap Palestin menerusi resolusi yang akan dikemukakan Rusia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Tergempar.

Azmi
Azmi

Katanya, meskipun resolusi UNGA tidak mempunyai kekuatan perundangan namun 193 negara boleh menyertainya berbanding resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya dianggotai oleh 15 buah negara.

“Rusia berjanji akan mengeluarkan resolusi jadi sokongan padu perlu diberikan untuk menyisihkan negara yang lebih bersimpati kepada Israel berbanding penduduk Gaza,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, selagi Amerika Syarikat (AS) memberi bantuan termasuk ketenteraan kepada Israel, maka negara haram itu akan terus bermaharajalela sehingga menghancurkan Gaza.

“Kata kuncinya masih AS. Jadi hal ini bukan dalam kerangka Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya,” jelasnya.

Terdahulu, AS menjadi satu-satunya negara menentang resolusi PBB yang menggesa ‘tempoh bertenang’, namun resolusi tu tak iktiraf hak Israel untuk pertahankan diri menentang pejuang Hamas.

Negara yang mengundi menyokong resolusi itu ialah Albania, Brazil, China, Ecuador, Perancis, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala Rusia serta United Kingdom berkecuali.

Krisis Palestin-Israel terus meruncing apabila 3,478 orang dilaporkan terbunuh di Gaza, manakala lebih 12,000 cedera.

Sebanyak 70 peratus daripada mangsa krisis adalah kanak-kanak.

Agensi hak asasi manusia dan pekerja PBB di lapangan melaporkan bahawa Gaza kehabisan air, makanan dan ubat-ubatan untuk lebih sejuta orang awam.

Isnin lalu, Majlis Keselamatan PBB menolak resolusi dikemukakan Rusia yang kutuk keganasan dan kezaliman terhadap orang awam, namun tidak menyebut tentang Hamas.

Resolusi itu menerima 5-4 undi sokongan manakala enam negara berpendirian berkecuali.

Negara yang menolak draf resolusi itu ialah AS, UK, Perancis dan Jepun.