Perang Israel-Palestin bukti PBB gagal tangani krisis kemanusiaan

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Peperangan antara Israel dan Palestin yang sudah berlanjutan sejak sekian lama membuktikan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menangani krisis di negara Asia Barat sehingga menyebabkan kematian orang ramai.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PBB hanya mendiamkan diri sedangkan angka kematian orang dewasa dan kanak-kanak dalam serangan di Palestin semakin meningkat hari demi hari.

Menurutnya, pertubuhan dunia tersebut gagal memainkan peranan dalam menangani isu peperangan sehingga memberi kesan terhadap kesejagatan manusia.

“Selama ini rakyat Palestin menghadapi kesengsaraan dengan ditindas oleh rejim Israel, dinafikan hak asasi dan dilayan dengan teruk seolah-olah mereka bukan manusia, tetapi tiada sebarang tindakan daripada PBB.

“Setiap kali berlaku peperangan tiada suara daripada mana-mana pertubuhan dunia bangkit membela nasib mangsa, begitu juga yang berlaku di Gaza ketika ini, PBB tidak melakukan sebarang tindakan melainkan mendiamkan diri.

“Kewujudan PBB seolah-olah tidak membawa sebarang makna kepada masyarakat dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Al-Arabi yang sesak di Genting Gaza.

Menurutnya, hospital berkenaan berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Lam Thye, negara-negara kuasa besar dunia perlu melakukan sesuatu bagi menghentikan krisis kemanusiaan di Palestin.

Ujarnya, negara seperti Amerika Syarikat yang lantang menyuarakan pendapat tentang hak asasi kemanusiaan rakyat Israel tidak melihat masalah tersebut secara menyeluruh.

“Walaupun bukan Islam, tetapi saya empati dengan rakyat Palestin kerana mereka juga manusia yang berhak untuk dilindungi dan juga layak mendapatkan kehidupan lebih baik,” katanya.